Yang Dipertua: Lantik Rais atau akur pada manifesto? - Utusan Malaysia

Yang Dipertua: Lantik Rais atau akur pada manifesto?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Julai – Spekulasi pelantikan Tan Sri Dr. Rais Yatim sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mencetuskan tanda tanya kerana perkara itu bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan dengan jelas jawatan tersebut mesti dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Ini seperti mana terkandung dalam janji ke-16 manifesto PH iaitu mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen di bawah teras mereformasi institusi pentadbiran dan politik .

Dalam janji itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara akan dipastikan dilantik dalam kalangan ahli-ahli Dewan yang mempunyai integriti dan kredibiliti selain mestilah berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan tersebut.

Jika Rais dipilih, ini jelas bercanggah dengan apa yang telah dijanjikan disebabkan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bukanlah seorang ahli Parlimen.

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Tek­nologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, manifesto pilihan raya merupakan tanggungjawab moral yang sewajarnya dipatuhi sebaik sahaja diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin negara.

Walaupun menyifatkan Rais memiliki kematangan dan layak memegang jawatan tersebut, namun Mazlan merasakan kerajaan perlu mengambil berat tentang hal pelantikan berkenaan apatah lagi sering kali mengatakan tentang soal keterbukaan dan melaksanakan pentadbiran dengan lebih berintegriti.

“Namun begitu, sekiranya kerajaan tetap juga mahu melantik Rais, mereka perlu memberi alasan kukuh mengapa terpaksa melantik Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan daripada ahli Parlimen supaya tidak mencetuskan isu dan polemik baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, jika dilihat kepada manifesto untuk melantik Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat, kerajaan sewajarnya memilih seorang ahli Parlimen kanan yang mampu mengawal situasi dalam Dewan Rakyat dengan baik.

“Jika diikutkan kepada kekananan ahli Parlimen dalam kalangan pemimpin PH, tentunya Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang patut dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat memandangkan beliau tidak dilantik menganggotai Kabinet,” katanya.

Selain Kit Siang, DAP juga memiliki seorang lagi wakil yang memegang jawatan kanan dalam parti iaitu Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai manakala Parti Amanah Negara (Amanah) turut mempunyai Naib Presidennya yang juga Ahli Parlimen Tampin iaitu Dr. Hasan Baharom.

Rais yang memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang sebelum ini dikatakan calon pilihan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan nama lain yang turut disebut termasuklah bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga sebelum beliau menolak spekulasi itu dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Persidangan mesyuarat pertama penggal pertama, majlis Parlimen Ke-14 dijadualkan berlangsung selama 20 hari mulai 16 Julai ini dengan urusan pertama mesyuarat pada hari berkenaan adalah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan persidangan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada keesokan harinya iaitu 17 Julai pada pukul 10 pagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN