Wujud suasana politik tenteram – Raja Perlis - Utusan Malaysia

Wujud suasana politik tenteram – Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 23 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, wakil rakyat di ne­geri ini perlu berganding bahu bersama-sama kerajaan negeri bagi mewujudkan suasana politik yang tenteram dan stabil.

Baginda bertitah, perkara itu penting agar pembangunan projek infrastruktur utama di negeri ini yang dirancang dapat dilaksanakan segera dengan lancar dan berkesan.

“Hanya kerajaan negeri yang stabil boleh menjamin kelancaran program pembangunan demi ke­sejahteraan rakyat.

“Oleh itu, beta menyeru semua wakil rakyat bersatu hati, bekerja dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan negeri serta rakyat di hadapan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Kompleks DUN, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perem­puan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kerajaan negeri dan wakil rakyat perlu berusaha membina hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan meskipun Perlis kini berstatus ne­geri pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Beta menyedari ini merupakan satu cabaran dan ditambah pula dengan kebergantungan negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan dari segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan bahawa pemba­ngunan di negeri ini masih bergerak perlahan berbanding negeri-negeri lain dan sehubungan itu baginda meminta semua pihak berganding bahu memainkan peranan ma­sing-masing.

“Ingatlah yang kerajaan ne­geri bertanggungjawab dan berpe­ranan mewujudkan persekitaran kondusif yang boleh membuka peluang kepada rakyat untuk memperbaiki taraf ekonomi mereka,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN