Who Runs The World teroka Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Who Runs The World teroka Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buat kali pertama, selebriti media sosial yang terkenal dari Singapura, Yeoh Mong Chin membuat penampilan sulung menerusi rancangan berkonsepkan digital, Who Runs The World With Mong Chin.

Menerusi siri televisyen itu, Mong Chin atau lebih dikenali sebagai Mongabong di kalangan pengikut Instagramnya berpeluang mengembara ke enam buah negara Asia Tenggara selama lapan minggu bagi meneroka lokasi-lokasi unik yang jarang dikunjungi pelancong.

Selain Singapura, negara yang terlibat ialah Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Mong Chin yang mempunyai 151,000 pengikut di laman Instagram turut dibantu beberapa individu yang mempunyai minat dalam larian, muzik, makanan dan fesyen di setiap lokasi yang dikunjungi.

Menurut Mong Chin, program yang mendapat kerjasama daripada Canon itu menggunakan pendekatan secara digital iaitu pengikut dan penonton saluran Lifetime Asia dapat mengikuti penggembaraannya secara eksklusif di lokasi ketika program dirakamkan.

Walaupun kali pertama, selebriti media sosial yang mula membina kariernya sejak lima tahun lalu itu berasa teruja dan seronok kerana berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menerusi program tersebut.

“Ini merupakan penampilan pertama saya menerusi program televisyen berskala besar dan ini merupakan kejayaan terbaharu dalam karier saya.

“Sejujurnya saya seronok melakukan pelbagai aktiviti yang digemari, antaranya mengembara ke lokasi-lokasi unik, mencuba makanan baharu dan fotografi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar program tersebut di Juan Valdez Cafe, The Intermark, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pendekatan unik

Kata Mong Chin, dia mempelajari istilah tidak cepat berputus asa apabila berhadapan cabaran menerusi program tersebut selain memberikannya peluang untuk mengenali pengikut di laman sosial dengan lebih dekat.

Selain itu, program tersebut juga merupakan platform terbaik buat dirinya berkongsi pelbagai pengalaman menarik melalui pendekatan yang unik dan asli.

“Malah, menerusi program ini juga saya perlu mengekalkan stamina yang bagus kerana kebanyakan aktiviti yang dilakukan memerlukan saya untuk kekal bertenaga.

“Antara aktiviti yang memberi cabaran terbesar buat saya ialah menyertai Spartan Race Cebu di Filipina. Hal ini kerana saya perlu melalui banyak cabaran menerusi permainan itu,” jelasnya.

Menerusi penggembaraan di Singapura, Mong Chin akan menyertai sebuah acara larian santai dengan iringan muzik rancak iaitu Illumi Run selain tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti kayak di Punggol Waterway.

Peminat Mong Chin turut berpeluang menyaksikan aksi akrobatik bersama kumpulan Toruk: The First Flight by Cirque du Soleil.

Di Malaysia pula, Mong Chin merasai pengalaman menyertai acara larian terkemuka menerusi Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon dan bagi memastikan kecergasannya berada pada tahap memuaskan, Mong Chin dilatih oleh jurulatih peribadi, Nana Al Haleq.

Selain itu, Mong Chin juga berpeluang bertemu dengan artis batik, Lazim Ismail dan Nadia Hasbi untuk menghasilkan rekaan seluar sukan bercorak batik.

Antara aktiviti lain yang dilakukan Mong Chin ketika penggembaraannya ialah menyertai Larian Singha Songkran Chiang Mai di Thailand, menjalani ekspedisi di kawasan kampung di Vietnam, melawat Gunung Rinjani di Indonesia selain menyertai acara larian Spartan Sprint di Cebu, Filipina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN