BINTULU 11 Julai – Dua termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun terbunuh selepas kereta dinaiki bersama lima lagi ahli keluarga yang lain terlibat dalam kemalangan di Jalan Bintulu-Tatau di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa, Munipah Marzuki, 24, bersama seorang kanak-kanak lelaki dipercayai mempunyai pertalian saudara dengannya, Mohammad Haiman Abdullah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku semasa tujuh sekeluarga itu menaiki sebuah kenderaan jenis Toyata Innova dalam perjalanan dari Kampung Jepak menuju ke pusat bandar.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit konkrit di bahu jalan berkenaan.
“Dalam insiden itu, Munipah tercampak keluar dari kenderaan dan terhantuk kepalanya pada parit konkrit, manakala Mohammad Haiman pula maut akibat mengalami kecederaan parah di kepalanya ekoran terhantuk pada tepi Toyota Innova berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar Alexson, lima mangsa lain yang berusia dua hingga 54 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










