Wajibkan pengasuh berdaftar - Utusan Malaysia

Wajibkan pengasuh berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Julai – Langkah untuk mengetatkan undang-undang sedia ada berhubung penjagaan kanak-kanak dibimbangi akan mendorong kewujudan lebih ba­nyak pusat asuhan tidak berdaftar.

NORSHEILA ABDULLAH

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Norsheila Abdullah berkata, pusat asuhan berdaftar kini berdepan tekanan kerana menjadi mangsa keadaan kesan perbuatan pengasuh yang tidak berdaftar yang sewenang-wenang beroperasi tanpa mengikuti peraturan yang ditetapkan.

“Kerajaan sepatutnya menguat­kuasakan supaya semua pengasuh perlu mendaftar dan mengikuti kursus asas latihan serta semua peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita tidak mahu kedegilan pengasuh yang beroperasi secara jalan gelap ini memberi kesan negatif kepada pengasuh berdaftar yang sekali gus menyebabkan golongan yang mematuhi peraturan itu tertekan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang bercadang mengetatkan undang-undang sedia ada berhubung penjagaan kanak-kanak bagi mengelakkan insiden kematian bayi di pusat pengasuh dapat dielakkan.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai perkara itu.

Mengulas lanjut jelas Norsheila, buat masa ini, terdapat kira-kira 22,500 pengasuh yang menjalani kursus asas latihan asuhan yang disediakan pihak bertanggungjawab namun jumlah tersebut terlalu sedikit berbanding pengasuh yang beroperasi secara ‘haram’.

“Saya fikir undang-undang sedia ada di negara ini mencukupi tetapi kerajaan perlu melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap pengasuh sama ada di taska atau rumah persendirian,

“Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam soal ini, mereka perlu memastikan pengasuh yang dipilih mendapat bimbingan daripada pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan panik sekiranya berlaku kes-kes tertentu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya perbincangan dengan semua pihak perlu dilakukan terlebih dahulu bagi meng­atasi masalah pengasuh tidak berdaftar sebelum kerajaan memperketatkan undang-undang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN