KUALA LUMPUR: Malaysia secara rasmi mengemukakan pencalonan untuk kembali menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai anggota tidak tetap bagi tempoh 2036 hingga 2037.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pencalonan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa serta memperjuangkan kepentingan negara membangun dan pihak yang teraniaya di peringkat global.
Beliau berkata, Malaysia sebelum ini telah empat kali dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB dan sentiasa memainkan peranan aktif dalam isu keamanan serta keselamatan sejagat.
“Malaysia juga sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak empat kali. Kita konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa dan menjadi jurucakap yang berani dalam membela nasib negara-negara membangun serta mereka yang dianiaya.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa Malaysia telah secara rasmi mengemukakan pencalonan untuk kembali menganggotai Majlis Keselamatan PBB sebagai Anggota Tidak Tetap bagi tempoh 2036 hingga 2037,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto oleh kuasa besar dunia dalam Majlis Keselamatan PBB serta pendekatan strategik dalam memperjuangkan reformasi sistem PBB.
Menurut Lukanisman, agenda reformasi Majlis Keselamatan PBB serta isu keselamatan dan keamanan sejagat akan terus menjadi keutamaan dalam dasar luar negara.
Kata beliau, Menteri Luar juga akan menegaskan pendirian Malaysia berhubung perkara itu ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Debat Umum Perhimpunan Agung PBB Ke-81 di New York pada September ini.
“Agenda reformasi Majlis Keselamatan PBB dan isu keselamatan serta keamanan sejagat akan terus menjadi satu keutamaan dalam dasar luar negeri Malaysia,” katanya. – UTUSAN









