Malaysia konsisten gesa mansuh kuasa veto PBB

Malaysia konsisten gesa mansuh kuasa veto PBB

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian bahawa struktur Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak lagi demokratik dan sudah lapuk.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Malaysia secara konsisten menggesa kuasa veto dimansuhkan kerana mekanisme itu disifatkan tidak adil serta sering menghalang usaha menegakkan keadilan di peringkat antarabangsa.

“Malaysia mengekalkan pendirian tegas bahawa kuasa veto adalah tidak adil dan perlu dimansuhkan.

“Dalam hal ini, kita sentiasa menggesa pelaksanaan reformasi Majlis Keselamatan PBB secara menyeluruh dengan pelbagai syor-syor. Antara syor yang kita kemukakan adalah seperti larangan mutlak untuk penggunaan kuasa veto mesti dimansuhkan sama sekali.

“Syor kedua adalah untuk penggunaan persyarat, selagi mana belum dimansuhkan, kuasa veto tidak boleh dilaksanakan dalam kes pencabulan undang-undang antarabangsa yang melibatkan jenayah perang, jenayah berat dan juga genosid terhadap kemanusiaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berkenaan persediaan menerajui usaha lebih tegas dan konkrit untuk menuntut reformasi Majlis Keselamatan PBB, memandangkan sistem sedia ada gagal membela keadilan apabila kuasa veto terus disalahgunakan kuasa besar.

Lukanisman berkata, Malaysia turut menegaskan setiap proses rundingan berhubung reformasi Majlis Keselamatan PBB perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka kepada semua negara anggota.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara yang menyokong agenda reformasi itu, selain menggesa masyarakat antarabangsa menggandakan usaha memperbaharui sistem PBB.

“Malaysia akan terus menggesa supaya satu mekanisme kawalan terhadap penggunaan kuasa veto diwujudkan sekiranya kuasa itu tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN