PARLIMEN: Malaysia desak hadkan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB

PARLIMEN: Malaysia desak hadkan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa reformasi menyeluruh dilakukan terhadap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengehadkan kuasa veto dimiliki oleh ahli tetap majlis berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kuasa veto tidak sewajarnya digunakan bagi melindungi sebarang bentuk jenayah kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman terhadap manusia atau pemusnahan struktur awam di Semenanjung Gaza.

“Ini antara perkara utama yang kita suarakan, dan kini sedang dirunding bersama negara-negara yang sepemikiran dengan pendirian Malaysia untuk menstruktur semula Majlis Keselamatan PBB,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan untuk mendesak komuniti antarabangsa, khususnya PBB agar menghentikan serangan berterusan rejim Zionis di Gaza.

Walaupun proses reformasi itu tidak mudah, Mohammad berkata, Malaysia komited meneruskan usaha berkenaan, termasuk menambah keanggotaan tetap dalam Majlis Keselamatan daripada pelbagai benua seperti Amerika Selatan, Afrika dan Asia.

“Memang kita tahu susah, tetapi ini adalah usaha yang kita laksanakan supaya anggota Majlis Keselamatan ditambah supaya kita ada wakil tetap mewakili benua-benua ini. Ini yang sedang kita lakukan,” katanya. 

Beliau menegaskan, sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah berasaskan prinsip dan bukan berpihak kepada mana-mana puak atau kumpulan.

“Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan negara mereka sendiri. Ini adalah hak yang sepatutnya mereka peroleh sejak Resolusi 1947,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Israel ditubuhkan pada tahun tersebut, usaha untuk menubuhkan negara Palestin tidak pernah menjadi kenyataan akibat tiada konsensus dalam kalangan negara Arab ketika itu.

“Resolusi dua negara telah lama diluluskan, tetapi sehingga kini, hanya rejim Zionis Israel yang wujud, manakala negara Palestin masih gagal ditubuhkan. Inilah yang kita perjuangkan, sebuah negara merdeka untuk rakyat Palestin, dengan sempadan yang diiktiraf,” katanya.

Jelasnya, Malaysia kini menjadi teras kepada sebuah kumpulan dikenali sebagai The Head Group yang mendesak supaya gencatan senjata kekal segera dilaksanakan di Gaza.

“Kita mahu hentikan tindakan mengusir rakyat Palestin secara besar-besaran hampir 2.5 juta orang daripada tanah air mereka. Gencatan senjata ini penting demi memastikan keamanan dapat dicapai. 

“Kita juga mendesak agar laluan kemanusiaan ke Gaza dibuka segera, selepas lebih empat bulan bantuan tidak dapat disalurkan.

“Kedua-dua pintu masuk dari Jordan dan Mesir ditutup. Bayangkan penderitaan rakyat Gaza yang kebuluran,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×