WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad menegaskan bahawa Selat Hormuz dibuka ketika menjawab soalan seorang wartawan wanita daripada NBC News.
Trump menghubungi rancangan Meet the Press pada Ahad, apabila pengacaranya, Kristen Welker, bertanyakan mengenai status laluan perairan strategik itu yang memainkan peranan penting dalam perang yang sedang berlanjutan antara AS dan Iran.
Welker berkata kepada Trump: “Anda jelas telah melancarkan satu lagi pusingan serangan semalaman. Iran berkata bahawa Selat Hormuz telah ditutup. CENTCOM (Markas Pusat Tentera AS) pula memaklumkan pagi ini bahawa Selat Hormuz masih terbuka. Yang mana satu benar, Tuan Presiden, dan bagaimana anda akan bertindak balas?”
Panglima tertinggi tentera AS itu kemudian memotong soalan Welker dan menjawab dengan nada tegas: “Selat itu masih dibuka dan saya tidak mahu bercakap mengenainya kerana saya mahu menghormati pemergian Lindsey Graham. Jadi, saya tidak mahu bercakap tentang perkara itu. Saya sudah beritahu perkara tersebut sebelum panggilan ini.”
Graham ialah senator dari Carolina Selatan, meninggal dunia secara mengejut pada malam Sabtu pada usia 71 tahun.
Menurut beberapa laporan, panggilan kecemasan 911 berhubung serangan jantung dibuat dari kediaman ahli politik Republikan itu sekitar pukul 8.30 malam waktu tempatan
Presiden itu turut mengarahkan bendera AS dikibarkan separuh tiang di Rumah Putih pada pagi Ahad sebagai tanda penghormatan kepada mendiang senator tersebut yang juga merupakan sekutu rapat Trump.
Trump turut ditemu bual oleh Jake Tapper dari CNN pada pagi Ahad, dan memberikan reaksi yang hampir sama apabila ditanya mengenai peperangan tersebut.
Selat Hormuz itu ditutup oleh Iran pada 28 Februari sebelum dibuka dan ditutup semula kerana perang Asia Barat. – AGENSI










