Warga FELDA kekal setia bersama BN

Warga FELDA kekal setia bersama BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesetiaan dan semangat padu masyarakat Felda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu disifatkan sebagai bukti keyakinan berterusan terhadap Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui pembangunan negeri serta menjaga kebajikan warga peneroka.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, keputusan yang diterjemahkan melalui peti undi bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya mencerminkan penghargaan rakyat terhadap rekod perkhidmatan dan komitmen berterusan BN dalam membela nasib peneroka serta generasi baharu Felda.

Menurutnya, warga Felda membuat pilihan berdasarkan prestasi, pengalaman dan keupayaan sesebuah kepimpinan menyelesaikan isu rakyat, bukannya berlandaskan slogan atau janji semata-mata.

“Kemenangan itu turut diterjemahkan melalui pencapaian menyeluruh di kawasan tanah rancangan apabila kesemua 350 saluran mengundi (100 peratus) melibatkan 67 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di 73 rancangan Felda dimenangi calon BN.

“Tahniah dan penghargaan dizahirkan kepada seluruh pengundi Felda yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka, sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar BN di kawasan-kawasan tanah rancangan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Amizar berkata, kemenangan besar BN di kawasan Felda bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya lahir daripada keyakinan rakyat terhadap rekod perkhidmatan, komitmen dan usaha berterusan dalam membela kebajikan peneroka serta generasi baharu.

Katanya, sejarah perjuangan peneroka yang membangunkan tanah rancangan dengan titik peluh dan pengorbanan menjadi asas kepada kekuatan komuniti Felda sehingga hari ini.

“Nilai mengenang jasa, menghargai pengorbanan dan mempertahankan legasi itulah yang terus menjadi pegangan warga Felda dalam membuat keputusan demi masa depan mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memandang rendah masyarakat Felda yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Warga peneroka cukup matang untuk menilai keikhlasan seseorang pemimpin dan membezakan antara khidmat berterusan dengan janji bermusim,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti, petugas pilihan raya dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen.

Ujarnya, kemenangan tersebut merupakan satu amanah untuk terus memperkukuh agenda pembangunan Felda, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan suara warga peneroka sentiasa diberi perhatian.

“Terima kasih kepada seluruh warga peneroka di Johor kerana tidak pernah melupakan dari mana kita bermula,” katanya.

Pada PRN Johor ke-16, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN