PUTRAJAYA 24 Julai – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi membenarkan permohonan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam dan dua yang lain untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung hak cipta sebuah novel yang didakwa mempunyai kaitan dengan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang diterbitkannya.
Perkara itu ditentukan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum membenarkan permohonan Yusof, anak lelakinya, pengarah serta pelakon, Syamsul dan syarikat penerbitan filem mereka, Skop Production Sdn. Bhd. untuk mendapat kebenaran merayu.
Kuorum berkenaan membenarkan ketiga-tiga pemohon mengemukakan dua persoalan undang-undang dalam rayuan yang akan didengar pada satu tarikh lain.
Mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Mac tahun lalu yang membenarkan rayuan penulis novel, Elias Idris berhubung tuntutan saman hak cipta yang difailkan terhadap ketiga-tiganya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim juga membenarkan permohonan Elias bagi perisytiharan bahawa ketiga-tiga responden melanggar hak cipta terpelihara novel beliau yang bertajuk ‘Aku Bohsia’ dan memerintahkan responden membayar novelis itu ganti rugi yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman novelis itu, selepas membenarkan rayuannya. – UTUSAN ONLINE











