KUALA LUMPUR 5 Julai – Suara Rakyat Malaysia (Suaram) perlu terlebih dahulu menerima cadangan supaya kesemua sekolah vernakular di negara ini ditutup sebelum pertubuhan itu mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan dasar kemasukan pelajar bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).
![]() |
|
ZAINUL FITHRI
|
Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainul Fithri Othman berkata, cadangan itu disuarakan kerana beliau mendapati semua sekolah vernakular di negara ini melanggar Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman 1969 (ICERD).
“Tiada dalam dunia ini, carilah di mana pun tiada sekolah Cina atau Tamil. Pergilah ke negara Singapura, Thailand dan China pun tiada sekolah khusus untuk orang Cina atau India, hanya berlaku di Malaysia.
“Oleh kerana sekolah-sekolah ini tidak membantu perpaduan, keharmonian, mengukuhkan hubungan semua kaum di negara ini, maka saya merasakan sekolah vernakular perlu ditutup dan membina sekolah nasional,” katanya.
Kenyataan Zainul Fithri itu dirakam dalam klip video berdurasi kira-kira 11 minit yang dipaparkan dalam laman Facebook Progerak, Isnin lalu.
Pengarah Suaram, Kua Kia Soong baru-baru ini dilaporkan meminta kerajaan memansuhkan dasar UiTM yang hanya menerima kemasukan pelajar bumiputera kerana perkara itu didakwa melanggar konvensyen PBB. – UTUSAN ONLINE











