[VIDEO] Sindiket pemalsuan dokumen warga asing tumpas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Sindiket pemalsuan dokumen warga asing tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan pelbagai dokumen yang dikenali sebagai Ah Boy selepas menyerbu dua premis menjual telefon bimbit di Chow Kit, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan yang dilakukan oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan pada pukul 3.30 hingga 4.30 petang itu menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita Indonesia yang merupakan pembantu sindiket.

“Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun dipercayai menawarkan perkhidmatan menjual Surat Kebenaran Bekerja Dengan Syarikat Lain, pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Lampiran Biodata Pasport palsu dan memproses serta menjual i-Kad palsu.

“Kesemua khidmat bermula dengan harga RM30 hingga RM180 bergantung kepada pakej yang ditawarkan dan kita percaya mereka sudah bergerak selama tiga tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Menurut Mustafar, kesemua lelaki tempatan itu melakukan aktiviti haram tersebut dengan berselindung di sebalik perniagaan menjual telefon bimbit dan aksesori alat telekomunikasi.

Jelasnya, dua lagi wanita warga asing berperanan sebagai pembantu kedai dan sebagai orang tengah untuk mencari pelanggan di kawasan sekitar ibu negara dan Lembah Klang.

Ujarnya, semasa serbuan tersebut, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM5,000 dan ratusan i-Kad yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.

“Kita turut menahan 19 warga asing di kawasan sekitar kerana tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Tambah Mustafar, kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana membuat atau memalsukan atau meminda sesuatu dokumen sebagai visa, permit dan pas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN