KUCHING 15 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang akan memulakan penggal baharu esok.
Video oleh MD AZRIN ROSLY
“Kita telah memilih dan akan umumkan segera. Beliau ialah seorang bekas hakim. Ya, beliau ialah Datuk Mohamad Ariff Md Yusof,” katanya ringkas kepada pemberita di sini hari ini.
Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang dijadualkan berlangsung selama 20 hari dengan urusan pertama mesyuarat adalah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Istiadat pembukaan persidangan dijadualkan disempurnakan oleh Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada hari Selasa.
Bagaimanapun, sidang Dewan Rakyat esok berdepan kemelut termasuk perlu ditangguhkan seandainya jika benar, pemilihan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memenuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ditetapkan.
Semalam, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyatakan berdasarkan Peraturan Majlis Mesyuarat Perkara 4, calon yang dicadangkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah memberitahu Setiausaha Dewan dengan bersurat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat berlangsung sama ada calon itu setuju atau tidak dicalonkan.
Pandikar menjelaskan, jika notis dua minggu berdasarkan peraturan mesyuarat itu tidak dipenuhi, sidang Dewan Rakyat perlu ditangguhkan bagi memastikan kerajaan Pakatan Harapan menghormati peraturan yang ditetapkan.










