Berpakat atau gerak solo?

Berpakat atau gerak solo?

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hala tuju kerjasama parti politik bagi meng­hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum jelas apabila tiada gabungan yang memuktamadkan keputusan sa­ma ada mahu berpakat atau bertanding secara solo. 

Ketidakpastian itu menyaksikan persaingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin terbuka dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kemungkinan berdepan pertembungan antara tiga atau empat penjuru. 

Namun buat masa kini, hanya Parti Bersama Malaysia (Bersama) memutuskan untuk berge­rak solo setelah mereka memuktamadkan untuk bertanding di 15 kerusi DUN tanpa melibatkan kerjasama mana-mana parti lain.

Walaupun rundingan sudah dimulakan sejak dua bulan lalu, namun sehingga kini masih belum ada kata putus sama ada BN, PH dan PN memutuskan untuk bekerjasama atau bertembung sesama sendiri.

Bagaimanapun, ketiga-tiga gabungan itu dilihat bersedia untuk bergerak solo sekiranya rundingan mengenai pembahagian kerusi dan bentuk kerjasama gagal mencapai persetujuan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pihaknya bertanding secara solo sekiranya tiada persefahaman dicapai antara PH dengan parti lain khususnya bersama BN.

Katanya, DAP akan akur dengan sebarang keputusan PH sekiranya gabungan itu memutuskan untuk bergerak sendiri meskipun wujud ura-ura wujud kerjasama pilihan raya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun BN.

“Ya, kalau solo kita bersedialah. Kita ikut keputusan PH. Kalau solo, kita akan pergi solo. DAP juga bersedia berdepan BN dan MCA di kerusi bandar sekiranya kami bertembung pada PRN berkenaan.

“Namun segalanya bergantung kepada hasil kerjasama yang sedang dirunding antara PH dengan parti-parti lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan PRN yang dijangka diadakan paling awal pertengahan Oktober.

Pengumuman pembubaran itu dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sekali gus menamatkan spekulasi ‘dua kali Jumaat’ dan ‘Jumaat terakhir’ sebelum ini.

Penggal DUN Ke-15 sepatutnya berakhir 27 Disember ini sejak dibentuk kira-kira empat tahun sembilan bulan lalu.

Dalam pada itu, rundingan antara Pas dengan Barisan Nasional (BN) menunjukkan perkembangan positif apabila Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, perbincangan antara kedua-dua parti kini menuju ke arah mencapai persetujuan. 

Katanya, namun kedua-dua pihak masih berhubung bagi memperincikan bentuk kerjasama yang akan dicapai.

“Kita sentiasa berhubung dan perkembangan itu menunjukkan ke arah positif. DUN pun baru sahaja dibubarkan, jadi kita beri masa sedikit untuk perbincangan ini dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mengenai kerjasama berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas rundingan antara kedua-dua pihak selesai.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau tidak menolak kemungkinan agenda penyatuan Melayu diteruskan di PRN Melaka selaras dengan agenda Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini agar usaha itu diperkukuh.

“Insya-Allah, usaha penyatuan Melayu ini perlu diteruskan yang sudah pun bermula di Johor, kemudian di Negeri Sembilan. Kali ini Melaka juga perlu membawa perjuangan yang sama demi orang Melayu Islam,” katanya.

Usaha itu disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang menjelaskan undi Melayu itu tidak harus terpecah, sekali gus usaha kearah penyatuan itu harus dimulakan.

“Undi Melayu itu tidak harus dibahagi-bahagikan dan dipecahkan kepada parti politik itu dan ini. Sebab akhirnya kita yang akan rugi. Jadi inilah masanya untuk kita satukan kembali undi orang Melayu dan menjadi utuh.

“Walau kuasa Melayu dominan tetapi kita tidak pernah sisihkan hak orang bukan Melayu dan sebagainya,” katanya.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, apa sahaja akan dilakukan demi kepentingan orang Melayu, termasuk bekerjasama dengan UMNO BN kerana berdepan musuh yang sama.

“Apa sahaja demi kepentingan orang Melayu, kita akan lakukan dan kita sekarang bersama dengan UMNO BN sebab musuh kita sama dan kita akan melawan musuh dengan kekuatan yang sama.

“Kita sudah pun bermula, benihnya di Johor, putiknya di Negeri Sembilan dan kali ini buahnya pula di Melaka,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×