2,000 hampir gagal masuk IPT akibat kekangan kewangan

2,000 hampir gagal masuk IPT akibat kekangan kewangan

Muhammad Irfan Firdaus Md. Fauzi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 2,000 pelajar hampir gagal mereali­sasikan impian melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) selepas berdepan masalah kewangan untuk menampung kos pengajian dan sara hidup.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Irfan Firdaus Md. Fauzi berkata, angka itu berdasarkan maklum balas yang diterima pihaknya daripada pelajar yang berdepan masalah kewangan bagi meneruskan pengajian ke universiti.

Namun katanya, kebanyakan pelajar terbabit berjaya meneruskan pengajian selepas menerima bantuan kewangan daripada pelbagai pihak termasuk universiti, agensi kerajaan dan badan kebajikan.

“MPPK bersama Task Force Kebajikan Siswa telah mengge­rakkan Kempen Bantu Mula Siswa dan mengesan hampir 2,000 mahasiswa dari seluruh Malaysia dan memberikan akses bantuan untuk mereka mengatasi krisis pendaftaran awal.

“Angka 2,000 ini menunjukkan bahawa isu ini bukan isu terpencil. Kita tidak mahu seseorang yang sudah mendapat tawaran ke UA terpaksa melepaskan peluang tersebut hanya kerana mereka tidak mampu menyediakan wang untuk memulakan pengajian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Muhammad Irfan, walaupun isu penolakan kemasukan UA tidak boleh dilihat secara sempit atau diletakkan puncanya semata-mata pada faktor kewangan tetapi ia tetap menjadi halangan besar apabila pelajar berdepan fasa pendaftaran yang memerlukan kos permulaan yang tinggi.

“Persoalannya bukan sekadar adakah pelajar mendapat tawaran tetapi adakah pelajar tersebut benar-benar mempunyai kemam­puan untuk memulakan pengajian.

“Ada pelajar yang telah menerima tawaran tetapi apabila sampai ke fasa pendaftaran, mereka berdepan kos awal seperti yuran, pengangkutan, penginapan dan keperluan asas.

“Sebab itu kami melihat keperluan untuk hadir dengan penyelesaian yang praktikal bukan hanya membincangkan masalah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Irfan berkata, kewujudan jurang maklumat menjadi punca utama sebahagian pelajar terlepas pandang atau gagal mendapatkan bantuan.

Menurutnya, walaupun pelbagai tabung bantuan kewangan disediakan oleh pihak universiti, ramai pelajar yang kurang bernasib baik tidak mengetahui syarat kelayakan, saluran memohon atau individu yang perlu dihubungi.

“Cabaran kita bukan hanya menyediakan bantuan tetapi memastikan bantuan tersebut diketahui, mudah diakses dan sampai pada masa yang diperlukan.

“Sebab itu MPPK melihat pendekatan yang lebih proaktif perlu diwujudkan, khususnya pada peringkat sebelum dan semasa pendaftaran. Kita tidak mahu mahasiswa hanya mencari bantuan selepas mereka sudah berada dalam keadaan terdesak,” katanya.

Tambah Muhammad Irfan, mekanisme bantuan sedia ada di universiti tidak perlu dirombak secara total, sebaliknya wajar ditambah baik berdasarkan data serta realiti semasa mahasiswa.

Jelasnya, bentuk bantuan kepada pelajar perlu dibahagikan kepada tiga fasa penting, iaitu sebelum pendaftaran, semasa pendaftaran dan semasa pengajian.

Katanya, fasa sebelum pendaftaran adalah bagi memastikan pelajar mempunyai persediaan kewangan, semasa pendaftaran pula kerana melibatkan pelbagai pembayaran dan fasa semasa pe­ngajian kerana masalah kewangan pelajar tidak akan berhenti sebaik sahaja mereka berjaya mendaftar.

“Bagi MPPK, pendidikan tinggi bukan hanya tentang membuka pintu universiti. Kita juga perlu memastikan mahasiswa mampu melangkah masuk melalui pintu tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Huzili Hussin berkata, isu kekangan ekonomi tidak sepatutnya menjadi penghalang kerana pihak universiti sentiasa komited memastikan golongan sasar diberikan bantuan sewajarnya.

“Buat masa ini, tiada penolakan tawaran berlaku akibat faktor kewangan kerana pihak universiti telah mengenal pasti pelajar daripada kumpulan berkenaan sejak awal lagi.

Katanya, kos sara hidup mahupun beban kewangan bukanlah punca pelajar melepaskan tempat pengajian.

“Segelintir calon melepaskan tawaran ada kalanya disebabkan faktor pilihan peribadi di mana pelajar memilih untuk melanjutkan pengajian ke UA yang lain,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×