SHAH ALAM 13 Julai- Penangguhan pembinaan lima stesen jajaran Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mampu merencatkan keinginan warga kota yang ingin membeli hartanah berdekatan kemudahan awam berkenaan.
Malah tinjaun Utusan Online mendapati, rata-rata masyarakat setempat mahu kelima-lima stesen jajaran berkenaan diteruskan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas selain menjimatkan masa perjalanan.
Perunding Media Sosial, Muzakkir Zuki, 25, berkata, tindakan kerajaan menangguhkannya memberi kesan jangka panjang kepada mereka yang membeli perumahan di kawasan berkenaan memandangkan tujuan utama membeli hartanah di situ adalah menggunakan kemudahan LRT3 itu.
“Mereka yang membeli aset berdekatan LRT 3 semestinya adalah untuk memudahkan mereka ke mana-mana, bagaimanapun bila benda itu berlaku pastinya membantutkan hasrat warga kota berkenaan,” ujarnya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Semalam, Kabinet bersetuju projek LRT3 diteruskan dengan kos akhir berjumlah RM16.63 bilion, iaitu 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion.
Antara langkah pengurangan itu termasuklah menangguhkan pembinaan lima stesen yang dijangkakan mempunyai jumlah penumpang yang rendah antaranya stesen yang akan dibatalkan adalah Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
Malah pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam juga dibatalkan
Sementara itu, Rohida Abd Rahman, 31, berkata, penangguhan lima stesen berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kawasan tersebut merupakan antara lokasi yang sering berlaku kesesakan lalu lintas.
Katanya, kerajaan disaran untuk menyemak semula kelima-lima stesen berkenaan dan mencari jalan lain sekiranya perlu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
“Bukit Raja kawasan yang padat, selalu berlaku kesesakan lalu lintas. Jika hasrat kerajaan untuk menangguhkan stesen di kawasan berkenaan kita harap mereka mencari alternatif lain supaya kawasan di situ tidak sesak,” ujarnya.
Manakala, perunding koordinator, Farizal Mohamed, 35, memberitahu, kesemua stesen berkenaan merupakan lokasi tumpuan orang ramai biarpun dijangkakan mempunyai penumpang yang rendah.
“Kemudahan awam sepatutnya memudahkan orang ramai bergerak namun apabila perkara itu berlaku ia menjejaskan kawasan perumahan di lokasi berkenaan” katanya.- UTUSAN ONLINE











