PADANG BESAR 13 Julai – Ketibaan musim durian bermula bulan ini sehingga sekitar Ogos depan sememangnya dinantikan oleh penduduk di negeri ini yang ingin menikmati kelazatan raja buah tersebut.
Di Perlis, Kaki Bukit di sini merupakan antara lokasi pekan kecil yang menjadi tumpuan para peraih dan pembeli dari kawasan dalam dan luar negeri ini bagi mendapatkan durian.
Berita berkaitan:
Lebih istimewa, pekan ini terdapat seorang peniaga yang menjual buah durian kampung asli dari pokok berusia 120 tahun milik moyangnya di kawasan tersebut.
Tham Ngui Long atau lebih mesra dipanggil Along,39, berkata, pokok yang tingginya kira-kira 25 meter itu mampu menghasilkan lebih 1,000 biji durian setiap musim.
Malah katanya, dia juga mengambil buah durian daripada pokok yang juga berusia ratusan tahun daripada pemilik-pemilik dusun buah berkenaan di sekitar kawasan ini untuk dijual kepada orang ramai.
Ujarnya, durian yang dijual itu mendapat permintaan tinggi malah kawasan ini dikenali sebagai pengeluar buah durian yang terbaik dari segi rasa dan kualitinya.
“Di dusun sekitar kawasan ini, sekurang-kurangnya terdapat lebih 10 pokok durian yang berusia ratusan tahun di mana setiap pokok mampu menghasilkan 500 sehingga 1,000 biji durian bagi setiap musim.
“Setiap hari saya mampu menjual sama ada kepada orang ramai atau pemborong sekitar dua tan buah durian. Harga yang dijual pula sangat berpatutan sekitar RM10 sehingga RM16 bagi setiap satu kilogram,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kepada orang ramai yang ingin mencuba durian daripada pokok berusia ratusan tahun itu, bolehlah mengunjungi gerai Along yang terletak di pekan ini.-UTUSAN ONLINE











