KUANTAN 10 Julai – Walaupun keadaannya nampak lemah dengan badan yang kurus serta tangan berkudis, dia tetap tersenyum ketika disapa.
Video oleh MAHATHIR ALI
Itu kenangan yang pastinya tidak akan dilupakan jiran-jiran Muhammad Luthhakim Abdullah, 10, yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di Taman Permatang Badak Maju di sini semalam.
Keadaan mangsa ketika mayatnya diperiksa pasukan perubatan sangat menyayat hati kerana dia bukan sahaja mengalami kecederaan melecur pada kemaluan malah mempunyai kesan lebam pada pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung dan ketiak.
Menurut seorang daripada jiran mangsa yang enggan dikenali, kali pertama dan terakhir dia melihat Muhammad Luthhakim ialah ketika jamuan Aidilfitri di sebuah rumah di situ yang dihadiri keluarganya yang baru berpindah di kejiranan tersebut tiga bulan lalu.
“Sejak mereka berpindah, saya tidak pernah lihat mangsa tetapi pernah ternampak ayah dan adik lelakinya. Ketika jamuan itu keadaan mangsa memang lemah dan dia tidak bercakap tetapi bila ditegur dia senyum,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Ditanya mengenai ibu mangsa, jiran itu memberitahu, wanita terbabit mengasuh kanak-kanak di rumahnya dan beberapa jiran lain pernah mengadu anak-anak mereka pernah dipukul ketika dihantar ke sana dan suspek juga kerap mengamuk.
Difahamkan, suspek pernah ditahan atas kes penderaan terhadap anaknya pada 2016 sebelum dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk pendakwaan.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman ketika mengulas kejadian itu berkata, ibu mangsa berusia 29 tahun dikatakan membuat panggilan kecemasan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini memaklumkan anak sulungnya tidak sedarkan diri di rumah pada pukul 12 tengah hari.
Jelasnya, sejurus selepas pengurusan HTAA menerima panggilan tersebut, sebuah ambulans dikejarkan ke rumah mangsa sebelum kanak-kanak itu dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.
“Sebaik sahaja tiba di HTAA, mangsa disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan fizikal dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kecemerlangan Kor Kadet Polis Pahang 2018.
Tambah Rosli, laporan polis dibuat pengurusan HTAA pada pukul 3.48 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan dan berdasarkan kesan kecederaan, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa yang merupakan anak sulung suspek pernah didera.
“Ibu kanak-kanak berkenaan dan suami wanita tersebut yang berusia 30 tahun ditahan reman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Nayan dalam satu kenyataan berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan pada esofagus atau salur makanan selain terdapat banyak kesan parut lama dan luka baharu di bahagian kepala serta seluruh badan yang mungkin kesan penderaan.










