KUALA LUMPUR 18 Julai – Kegiatan sindiket curi motosikal yang bergerak aktif di Lembah Klang dipatahkan selepas empat individu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akhir Jun lalu.
Kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun itu ditahan pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.30 malam sekitar kawasan Kampung Medan, Batu Muda Off Jalan Ipoh di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, jumlah kerugian motosikal curi untuk dileraikan itu dianggarkan RM60,000.
“Hasil maklumat daripada kesemua suspek, polis telah menemukan 17 rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Batu berhampiran Stesen Komuter Batu 5, Jalan Ipoh di sini.
“Kumpulan lelaki itu melakukan aktiviti mencuri tersebut di sekitar Lembah Klang antaranya di Sentul, Cheras, Brickfields, Wangsa Maju, Ampang dan Kuala Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










