GUA MUSANG 12 Julai – Kira-kira 200 keluarga di Kampung Batu 2, Kuala Nerus di sini hidup menderita apabila bekalan air di kediaman mereka sering terputus sejak lebih dua tahun lalu.
Video oleh AIMUNI TUAN LAH
Keadaan itu menyukarkan mereka kerana terpaksa menggunakan air telaga, air sungai dan air hujan yang tidak terjamin kebersihannya.
Rata-rata penduduk kampung berkata, mereka sudah jemu membuat aduan kepada pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana sehingga kini masalah mereka tidak pernah selesai, namun dalam masa sama, masih perlu membayar bil air sehingga RM30 sebulan.
Justeru, mereka mendesak kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan juga pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk turun padang melihat masalah yang dihadapi mereka sekian lama.
Seorang penduduk yang juga orang kurang upaya (OKU), Azahar Hussin, 35, berkata, masalah air di kampung ini dilihat semakin meruncing apabila mereka terpaksa menggali perigi kerana tidak menerima bekalan air seperti kampung lain.
Katanya, penduduk terpaksa berbelanja hampir RM2,000 untuk menggali telaga, membeli tangki air, penyedut air dan penapis air.
“Saya terkilan apabila memikirkan masalah air yang terpaksa diangkut dari sungai kerana kedua ibu bapa saya sudah tua dan diri saya sendiri juga tidak berupaya kerana kaki cacat.
“Sudah puas kami merayu agar bekalan air disalur ke kampung ini kerana sudah lama kami menderita tiada air bersih,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tuan Nor Hasfaliza Tuan Hassan, 38, yang menetap selama 18 tahun di kampung itu pula berkata, pada bulan Ramadan lalu, mereka langsung tidak mendapat bekalan air.
Katanya, bekalan air sebelum ini amat terhad sehingga menyebabkan mereka terpaksa berjaga awal pagi untuk menadah air.
“Kami terpaksa bersengkang mata untuk bangun awal pagi bagi menunggu bekalan air. Namun, dalam masa satu jam, air tidak memenuhi satu baldi pun.
“Apa yang menyakitkan hati, penduduk pula terpaksa membayar bil ‘angin’ melebihi RM30 sebulan,” katanya.
Norhafihah Mustapa, 35, pula berkata, ketiadaan bekalan air juga menyusahkan wanita berpantang dan penduduk yang mahu menguruskan jenazah apabila terpaksa mengangkut air dari rumah saudara mara.
Yarodah Rapo, 42, pula mengakui berasa malu melihat pakaian seragam sekolah anaknya berwarna putih kekuningan akibat air karat kerana kualiti air yang teruk
“Kalau kerajaan negeri gagal selesaikan isu ini, kami harap kerajaan Pakatan Harapan dapat menyelesaikan masalah yang kami bangkitkan sejak sekian lama ini,” katanya.











