SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam menyarankan supaya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni supaya tidak bersifat terlampau takbur.
Beliau berkata, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang agama adalah sepatutnya mempunyai sifat merendah diri sesuai dengan dirinya dikenali sebagai ulama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
“Kalau dia (Mohd. Zawawi) cakap boleh sapu bersih, saya rasa takbur sangat sebagai ulama besar di DUN tersebut.
“Sepatutnya, sifat takbur dan riak tidak perlu ada dalam jiwa seorang ustaz,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohd. Zawawi yang menjangka mampu menyapu bersih undi masyarakat India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis.
Dalam perkembangan berkaitan, Lokman menegaskan BN tidak akan sesekali menggunakan kempen murahan dalam meraih undi bagi menewaskan PKR pada PRK DUN Sungai Kandis.
Beliau berkata, pendekatan yang digunakan BN adalah profesional dengan berdasarkan dasar masing-masing dalam berkempen serta menyerahkan kepada pengundi untuk menilainya sendiri.
“Kalau kita mahu praktik kempen murahan, kita boleh buat kerana kita ada bahan rakaman membabitkan calon PKR (Mohd. Zawawi) tetapi itu bukan dasar BN nak sebarkan rakaman terbabit,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendakwa video tersebut adalah berkaitan perilaku seseorang menyerupai Mohd.Zawawi sedang menari yang mana rakaman itu dipercayai diambil sewaktu PRK Ijok pada 2007.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) yang dijangka turun berkempen membantu calon mereka, Lokman berkata, perkara tersebut disifatkan sebagai memalukan diri sendiri.
Menurutnya, kehadiran pemimpin seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya hanya memberi kelebihan kepada BN.
Berdasarkan jadual kempen yang dikeluarkan seketariat PKR, Anwar dijangka turun berkempen bermula malam ini sehingga Jumaat manakala Mahathir akan hadir pada ceramah utama Jumaat ini.
“Saya gembira kerana ini tanda positif bahawa mereka tidak yakin kepada Zawawi.
“Ini adalah sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) kecil dan tidak sewajarnya nama-nama besar seperti Mahathir, Anwar Ibrahim turun.
“Tetapi percayalah, Mahathir tidak akan turun, tidak akan datang dan kalau beliau datang sudah tentunya akan memalukan diri sendiri,” ujarnya. – K! ONLINE










