KUALA LUMPUR 31 Julai – Generasi muda hari ini digesa untuk memperingati sejarah dan tidak melupakan susah-payah perjuangan nenek-moyang yang bertarung nyawa untuk memerdekakan negara ini.
Lebih-lebih lagi ia melibatkan satu perjuangan yang sangat sukar sehingga ada nyawa anggota tentera menjadi korban demi memastikan generasi hari ini hidup aman dan selesa.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini ada beberapa pihak dilihat seolah-olah mencabar maruah perjuangan veteran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mencadangkan perjuangan tentera berhaluan kiri diangkat dalam sejarah untuk pembelajaran generasi muda.
Mengulas lanjut tentang isu yang agak sensitif tersebut, Naib Presiden Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA), Geodfrey Chang berkata, perkara itu tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Sebagai seorang veteran tentera, apa yang boleh saya katakan sewaktu berkhidmat suatu ketika dahulu, mereka memang merupakan musuh kami. Namun begitu, masa sudah berlalu dan masing-masing telah menyerah diri ketika itu.
“Mengapa ada generasi muda mahu mengangkat perjuangan komunis itu tidak dapat saya ulas lanjut namun mereka pasti punyai tujuan tertentu yang kita tidak tahu,” katanya sewaktu ditemui Utusan Online, di sini hari ini.
Chang berkata demikian sewaktu ditemui dalam upacara Hari Peringatan kepada anggota tentera yang terkorban semasa berperang sempena Hari Pahlawan Negara di Tugu Negara, hari ini.
Chang menegaskan bahawa sebagai anggota tentera, dia sememangnya tidak bersetuju dengan ideologi komunis dan sekiranya ada pihak bangkit melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, kerajaan perlu mengambil tindakan.
Chang berkata demikian mengulas isu cubaan segelintir pihak yang tampil dengan cadangan kandungan buku teks mata pelajaran Sejarah perlu diubah dengan memasukkan kisah perjuangan pihak berhaluan kiri.
Bagi seorang bekas Pegawai Waran II Tentera Darat, Wong Foh Lim berkata, anak-anak muda pada zaman ini seharusnya memiliki sikap seperti orang-orang terdahulu.
“Selain itu, mereka juga harus bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini dalam dunia yang serba moden. Segala-galanya sudah berubah dan tidak sama seperti dahulu.
“Namun begitu, anak-anak muda diharap turut sama menerapkan semangat cinta akan negara ini kerana merekalah pewaris kedamaian dan keamanan yang dikecapi sehingga kini,” katanya.
Upacara Hari Memperingati anjuran MACVA menghimpunkan hampir 140 anggota veteran ATM bukan Melayu termasuk Persatuan Veteran India ATM (Perim) dan Persatuan Veteran Sikh ATM (MAFSVA)
Turut hadir, Persatuan MACVA, Tan Pau San, Presiden Perim, Mejar A. Murugaiyah dan Presiden MAFSVA, Baldev Singh. – UTUSAN ONLINE










