UMS disaran perbanyak kajian sistem pengangkutan - Utusan Malaysia

UMS disaran perbanyak kajian sistem pengangkutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 21 Julai – Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran untuk memperbanyakkan kajian mengenai sistem pengangkutan awam khususnya pengangkutan udara dan darat termasuk kereta api di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kajian itu termasuk mengenalpasti langkah bagi menjayakan sistem perhubungan antara daerah khususnya di kawasan pedalaman.

“Saya telah meminta supaya UMS meneliti dan membuat pelbagai kajian bukan hanya dalam sistem pengangkutan udara, bahkan daripada segi pengangkutan lain seperti kereta api bagi membolehkan sistem perhubungan di peringkat negeri dapat kita jayakan.

“Langkah itu juga bertujuan menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara sekali gus untuk membantu sektor pelancongan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Logo dan Motto UMS pada Pesawat MASwings.

Yang turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr. Yusof Yacob; Ketua Pegawai Eksekutif MASwings Sdn. Bhd., Aminuddin Zakaria; Naib Canselor UMS, Datuk Dr. D. Kamaruddin D. Mudin dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan akan menilai dan mengkaji permohonan Air­Asia Berhad (AirAsia) untuk memindahkan operasi syarikat penerbangan tambang murah itu di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kita akan melihat semula cadangan itu dan kita tahu ia merupakan langkah baik dalam meningkatkan lagi kadar pelancong ke negeri ini.

“Bagaimanapun dalam tempoh jangka masa pendek mungkin boleh dilakukan tetapi jangka masa panjang kita perlu kaji kerana kita sendiri dalam peringkat cadangan untuk memindahkan lapangan terbang ke kawasan Papar dan Kimanis, dekat sini,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya sanggup melabur sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf Terminal 2 KKIA sekiranya dibenarkan kembali beroperasi di situ. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN