SAUDARA PENGARANG,
HARAPAN Pas untuk menyaksikan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tidak kesampaian apabila bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kasim dilantik Speaker setelah mendapat sokongan daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN)-UMNO, iaitu ADUN Gua Chempedak, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabarina Mohd Noor.
Pelantikan Speaker DUN Kedah tergantung selepas PRU-14 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri tidak mendapat kerusi secukupnya untuk melantik Speaker. PH mendapat 18 kerusi, Pas 15 kerusi dan UMNO 3 kerusi. Sekiranya UMNO memihak barisan pembangkang, nisbahnya 18-18.
Angka ini sangat dinantikan oleh Pas, kerana Pas berharap agar PRN DUN Kedah menjadi kenyataan.
Tindakan tiga ADUN BN itu khabarnya mendapat persetujuan daripada kepemimpinan UMNO Pusat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, menafikan sokongan tersebut bertujuan memihak kepada PH.
Saya agak keliru dengan penafian tersebut. Apa bezanya istilah memihak dan menyokong, sekiranya perbuatan tersebut memberi kemenangan pihak lawan?
Dalam perjuangan politik, perbuatan menyerah tanpa berlawan adalah ‘dayus’ dan memalukan.
Jadi tidak hairanlah jika ada yang mengatakan UMNO itu jijik.
Tiga kerusi yang UMNO miliki itu sangat mahal harganya.
Bukan boleh ‘dijual dan dijaja’ dengan pujuk rayu atau janji-janji di meja bulat.
Ini bukan kerusi ‘cari makan’, Ini kerusi yang menentukan survival dan maruah UMNO.
Dengan tiga kerusi ini UMNO boleh memaksa PH melutut.
Dengan tiga kerusi ini UMNO boleh mengajar PH kenal siapa kawan siapa lawan. Tiga kerusi ini barang kali boleh membela nasib Datuk Seri Najib Tun Razak.
UMNO sepatutnya melakukan kejutan. UMNO sepatutnya mengikut formula Pas mahukan PRN Kedah menjadi kenyataan.UMNO sepatutnya menyambung perjuangan.
Inilah masa dan saatnya untuk UMNO menguji kewibawaan barisan kepemimpinan baharu.
Inilah ‘medan’ terbaik untuk UMNO merangka strategi bagi meraih sokongan rakyat.
UMNO tidak boleh lagi berpolitik secara ‘biasa-biasa’. UMNO perlu ada ‘keajaiban’. Kerana keajaibanlah Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat menjatuhkan kerajaan BN.
Bercakap pasal keajaiban, saya teringat akan kisah Hikayat 1001 Malam.
Seorang pemuda miskin bernama Abu Nawas yang tidak mampu memagar keliling rumahnya. Lantas beliau mengambil keputusan membuat pintu gerbang tanpa pagar. Perbuatan ini pada awalnya dianggap sia-sia.
Tapi akhirnya pintu gerbang Abu Nawas itu berjaya menarik perhatian.
Maka ramailah orang berkunjung ke rumahnya semata-mata ingin lalu di bawah pintu gerbangnya.
Melalui kisah Abu Nawas ini, saya berharap UMNO membina ‘pintu gerbang’ di Sungai Kandis.
PEMIKIR
Kedah











