UMNO perlu bertanding pada PRK Sungai Kandis - Utusan Malaysia

UMNO perlu bertanding pada PRK Sungai Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) diminta mempertimbangkan cadangan supaya UMNO bertanding menggunakan logo parti itu dan bukannya atas tiket BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini. 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan perkara itu berkata, ia adalah penting bagi mengukur sokongan rakyat selepas penolakan rakyat terhadap BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ini pandangan dan cadangan saya bahawa calon yang akan bertanding di PRK Sungai Kandis, dibenarkan bertanding atas tiket UMNO. Bagaimanapun cadangan ini akan diputuskan kepimpinan tertinggi BN selepas perbincangan mengenainya diadakan dalam masa yang terdekat.  

Memuatkan artikel berkaitan…

“Banyak orang kata, kita tidak perlu bertanding, tetapi pada saya ini (PRK Sungai Kandis) adalah percubaan yang bagus untuk kita menilai kemampuan. Kalau mahu tunggu PRU lima tahun lagi, ia terlalu lama. 

“Malah, setiap PRK UMNO perlu bertanding kerana ia merupakan latihan kepada ahli-ahli yang akan berkempen sebagai pembangkang,”katanya.

Beliau ditemui selepas program Wacana Mampukah BN Bangkit Semula di Dewan Karangkraf di sini hari ini. 

Wacana tersebut turut menampilkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO 
Perak, Datuk seri Dr Zambry Abd. Kadir.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, di Pusat Perubatan Subang Jaya akibat kanser limfoma, 2 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, beliau menang kerusi sama yang bertukar nama kepada DUN Sungai Kandis menewaskan calon Barisan Nasional(BN), Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 12,480 undi. 

Ditanya sama ada kemungkinan BN akan mengadakan kerjasama dengan Pas pada PRK DUN Sungai Kandis, Mohamad menyatakan pihaknya bersedia mengadakan perbincangan apa sahaja strategi yang ada termasuklah memastikan pertandingan satu lawan satu di kerusi berkenaan. 

“Kita harap tidak ada pertandingan tiga penjuru. PRU-14 kita kalah kerana berlakunya pertandingan 3 penjuru yang mana ia tidak menguntungkan sesiapa,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×