SHAH ALAM 13 Julai – PKR Selangor mengakui parti itu akan berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis jika benar UMNO dan Pas sepakat mahu mengemukakan seorang calon pembangkang sahaja.
Bagaimanapun Menteri Besar, Amirudin Shari optimis PKR berupaya mempertahankan kerusi tersebut terutamanya dengan sokongan pemimpin utama Pakatan Harapan antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamed, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.
“Kita sedar (cabaran jika berdepan satu lawan satu), sebab itu Pakatan Harapan pun hantar satu nama sahaja dan bagi PKR serta Pakatan Harapan, kita nak pastikan jentera kita kemas dan tersusun selain dibantu dengan nama-nama besar dalam pakatan.
“Pada masa yang sama, Presiden Amanah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dan saya yakin resipi ini akan membolehkan kita mengekalkan kerusi Sungai Kandis,” katanya selepas program Jalinan Budi Rakan Strategik di sini hari ini.
Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis terpaksa diadakan selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir. Kamaruzzaman Johari (11,518 undi) dan calon Pas, Mohd. Yusof Abdullah yang mendapat 7,573 undi.
Namun, jika rancangan hanya meletakkan seorang sahaja calon pembangkang yang kini sedang dibincangkan UMNO dan Pas mencapai persetujuan, dengan mengambil kira keputusan PRU-14, gabungan kedua-dua parti itu dilihat bakal memberi saingan sengit kepada PKR.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kegagalan Pakatan Harapan menunaikan kesemua janji politik yang dibuat semasa PRU-14 lalu akan memberi kesan kepada calon PKR di Sungai Kandis, Amirudin berkata, beliau yakin sokongan rakyat kekal bersama Pakatan Harapan.
“Kita sudah laksanakan enam hingga tujuh daripada janji kita, saya percaya rakyat masih lagi memberi sokongan penuh dan saya yakin dengan sokongan itu tetapi tidaklah bermakna kita boleh duduk diam, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan kemenangan,” ujarnya.










