UMMB dapat kebenaran merayu - Utusan Malaysia

UMMB dapat kebenaran merayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Julai – Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) memperoleh peluang terakhir untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM200,000 kerana menyiarkan kata-kata berunsur fitnah terhadap peguam Manjeet Singh Dhillon, hampir tujuh tahun lalu.

Rayuan syarikat penerbitan akhbar itu di Mahkamah Persekutuan kelak akan didengar bersama rayuan portal berita Malaysiakini yang diperintah membayar ganti rugi RM200,000 kepada Raub Australian Gold Mine (RAGM) berhubung penerbitan artikel dan video berunsur fitnah berkaitan aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman, Pahang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum ketika membenarkan permohonan UMMB hari ini di mahkamah tertinggi negara itu turut membenarkan syarikat tersebut mengemukakan dua persoalan undang-undang dalam rayuan yang akan didengar pada satu tarikh lain.

Salah satu persoalan itu ialah sama ada pembelaan `reportage’, yang menjadi spesis pembelaan Reynolds boleh diterima sebagai pembelaan secara bersama dengan perlindungan bersyarat, justifikasi dan komen yang adil.

Pembelaan Reynolds merujuk kepada hak perlindungan ke atas wartawan yang bertanggungjawab menyiarkan sesuatu dakwaan walaupun pada akhirnya didapati silap, demi kepentingan masyarakat.

Beliau yang turut bersidang bersama Tan Sri Zainun Ali dan Tan Sri Aziah Ali memerintahkan rayuan itu didengar bersama rayuan Malaysiakini kerana isu yang akan dihujahkan melibatkan persoalan undang-undang yang sama.

Pada 11 Julai lalu, mahkamah tertinggi negara membenarkan penerbit portal berita, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang akan dipadatkan dengan memberi tumpuan kepada isu pembelaan `reportage’ dan isu ganti rugi.

Isu ganti rugi itu antara lain menyatakan sama ada ganti rugi kerana kehilangan reputasi, boleh diberikan kepada syarikat yang mengalami penggulungan.

Malaysiakini merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Januari lalu yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM150,000 selepas membenarkan rayuan syarikat perlombongan emas itu.

Hari ini, UMMB diwakili oleh barisan peguam bela diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala Manjeet diwakili oleh Americk Sidhu.

UMMB mengambil usaha terakhir itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang menolak rayuan serta memerintahkannya membayar ganti rugi RM200,000 dan kos berjumlah RM70,000.

Manjeet memfailkan saman terhadap bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan; bekas wartawan Utusan Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar dan UMMB serta TV3 bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta kerana memfitnah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN