Ular sawa 'berehat' dalam reban ayam ditangkap - Utusan Malaysia

Ular sawa ‘berehat’ dalam reban ayam ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Seorang penyelia kilang terkejut apabila mendapati seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter sedang ‘berehat’ kekenyangan selepas membaham seekor ayam di dalam reban ayam miliknya di Jalan PT 9, Kampung Api-Api di sini pagi tadi.

Kejadian tersebut disedari Wanara Abdul Wahid, 52, kira-kira pukul 8.30 pagi ketika hendak memberikan makanan kepada dua ekor ayamnya.

“Saya terkejut apabila mendapati reptilia itu sedang melingkar kekenyangan selepas membaham seekor ayam manakala seekor lagi yang telah mati berada di sisi ular tersebut. 

“Ini adalah kejadian kedua seumpamanya berlaku kepada saya selepas Februari lalu yang mana tiga ekor ayam saya telah dibaham ular,” katanya di sini hari ini. 

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Pegawai Bomba Kanan ll Ahmad Rozali Jaimi berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.59 pagi.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama 10 minit bagi menangkap ular seberat 15 kilogram itu. 

“Ular sawa itu kemudiannya dilepaskan semula ke habitat semulajadinya yang jauh dari penempatan masyarakat,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN