KUALA LUMPUR 23 Julai- Syarat fasih berbahasa Melayu ataupun mencatatkan kelulusan kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak boleh dijadikan ukuran dalam sistem Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang jelas tidak mengikuti sistem pendidikan negara.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk. Dr. Awang Sariyan berkata, syarat tersebut dianggap terlalu subjektif dan tidak boleh menentukan sama ada pelajar UEC benar-benar layak untuk masuk ke universiti awam mahupun bekerja di sektor awam.
Malah katanya, isu UEC bukanlah mengenai isu bahasa semata-mata sebaliknya memberi kesan besar kepada sistem pendidikan negara secara keseluruhan.
“Cuba fikirkan, bagaimana ukuran kefasihan bahasa Melayu itu dibuat dan siapa yang menentukannya kerana UEC dikawal selia oleh pertubuhan sekolah persendirian Cina dan bukannya kerajaan, jadi ia bersifat subjektif.
“Apa yang perlu difahami, isu UEC bukan isu bahasa semata-mata tetapi ini soal mengiktiraf sistem pendidikan yang berbeza dengan sistem pendidikan negara dan ini berlaku hanya disebabkan gerakan liberal yang ingin memenuhi kehendak segelintir pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang menyatakan kesediaannya mengiktiraf UEC sebagai kelayakan memasuki perkhidmatan awam di negeri itu dengan syarat pemohon fasih berbahasa Melayu atau mempunyai kelulusan kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
Tambah Awang, pengiktirafan UEC juga seolah-olah tidak adil bagi masyarakat lain yang perlu melalui sistem pendidikan negara.
“Pengiktirafan UEC akan membuka ruang kepada dua sistem pendidikan dan ini memberi kelebihan kepada satu pihak sedangkan pihak lain mempunyai satu laluan sahaja iaitu sistem pendidikan negara.
“Mereka akan mempelajari sukatan pelajaran yang berbeza dengan kurikulum nasional, sama juga seperti latihan guru, buku teks, pengajaran serta peperiksaan, ini cara paling mudah untuk mereka memasuki universiti awam dan sektor awam, di mana maruah pendidikan negara kalau begitu,” katanya.
Habis










