KUALA LUMPUR – Tidak perlu hadiah, cuma ucapan Selamat Hari Jadi sudah mencukupi.
Itulah permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada rakyat Malaysia sempena sambutan hari jadinya ke-93 hari ini.
“Mesej atau kenyataan hari jadi sahaja kepada saya. Itulah yang saya hargai sepenuhnya,” katanya dalam satu temubual bersama Bernama Radio pagi ini.
Negarawan yang menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas turut berseloroh berkata, beliau adalah pelupa dan tidak pernah mengingati hari lahirnya sendiri.
Namun isteri tercinta, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali merupakan insan yang selalu akan mengingati hari istimewa beliau itu.
“Saya ni pelupa, hari jadi saya pun saya tak ingat. Tapi isteri saya tak pernah lupa. Pagi-pagi dia bagi tahu kepada saya, Selamat Hari Jadi. Jadi saya pun selamat la, saya pun celebrate la.
“Kalau nak harapkan kepada saya, hari jadi saya pun saya tak ingat,” katanya.
Katanya, sajian pulut kuning dan rendang daging juga menandakan hari istimewa tersebut.
Dalam temubual singkat itu, Dr. Mahathir turut berkata, sebelum dikenali ramai kadang-kadang beliau akan membawa Siti Hasmah untuk untuk makan malam berdua, tetapi kini beliau tidak boleh lagi berbuat demikian.
Dr. Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia keempat pada 1981 hingga 2003 juga ditanya mengenai perbezaan pentadbirannya dahulu dan kini. – Bernama










