KUALA LUMPUR 27 Julai – Anggota kumpulan Twice terharu dengan sambutan daripada peminat tempatan sebaik saja menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Twice menjejak kaki ke Malaysia bagi menjayakan konsert Twice 2nd Tour – Twiceland Zone 2: Fantasy Park di Stadium Malawati, Shah Alam pada pukul 8.30 malam, esok.
Kumpulan yang dianggotai oleh Nayeon, Jeongyeon, Momo, Sana, Jihyo, Mina, Dahyun, Chaeyoung dan Tzuyu sewaktu sidang akhbar hari ini menyatakan mereka tidak sabar untuk menghibur peminat-peminat mereka.
Jelas Tzuyu, dia amat tersentuh apabila melihat ramai peminat yang menunggu kedatangan mereka di lapangan terbang semalam.
“Saya begitu terharu apabila melihat ramai peminat berada di lapangan terbang semalam. Sewaktu berada di sini, saya juga tidak sabar untuk menikmati pelbagai makanan menarik di negara ini,” katanya sewaktu sidang akhbar yang diadakan pada hari ini.
Bagi Nayeon pula, dia tidak sabar untuk bertemu dengan kelab peminat atau pengikut setia Twice yang dikenali sebagai Once pada konsert yang berlangsung esok. Malah dia juga gembira kerana Malaysia merupakan antara lokasi konsert mereka.
Untuk konsert malam esok, Twice akan mendendangkan lagu baharu yang berjudul Dance The Night Away, selain menampilkan persembahan daripada sub unit untuk pembuka tirai.
Untuk konsert tersebut, kesemua anggota Twice telah memberi pandangan mereka bagi memastikan persembahan mereka berjalan lancar dan meninggalkan kenangan manis untuk Once di Malaysia.
“Kami berusaha keras bagi memastikan konsert berjalan lancar kerana inilah cara untuk kami membalas jasa Once di sini yang memberi sokongan kepada perjalanan kerjaya Twice.
“Melihatkan reaksi penonton sebelum ini di Korea Selatan, Jepun dan Singapura membuatkan kami tidak sabar untuk menghibur peminat di Malaysia pula. Twice mahu melihat wajah-wajah ceria penonton sewaktu kami beraksi di pentas esok,” ungkap Sana pula.
Apa yang membuatkan Twice teruja untuk mengadakan persembahan esok kerana mereka mahu melihat penonton menyanyi bersama-sama mereka.
Twice yang popular dengan lagu antaranya, Cheer Up, TT, Like Ooh-Ahh, Knock Knock dan One More Time berharap mereka berpeluang untuk bertandang ke sini bagi menjayakan konsert seterusnya. – UTUSAN ONLINE










