Tuntutan ke atas Sabah tidak berasas - Wisma Putra - Utusan Malaysia

Tuntutan ke atas Sabah tidak berasas – Wisma Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengulangi pendirian kerajaan Malaysia bahawa tuntutan yang berterusan ke atas Sabah adalah tidak berasas.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia sedia maklum kenyataan yang dibuat Anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr yang disiarkan di media mengenai tuntutan ke atas Sabah pada 20 Julai.

“Ini kali kedua pada tahun ini Pimental Jr membuat kenyataan tidak berasas berkaitan Sabah,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak pembentukan Persekutuan pada 16 September 1963.

Justeru, Malaysia tidak akan mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak ke atas Sabah, kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, kenyataan seumpama itu daripada individu boleh merosakkan hubungan dua hala sangat baik yang dinikmati Malaysia dan Filipina pada masa ini.

“Kenyataan seperti ini boleh menjejaskan usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala sesuatu yang penting bukan sahaja kepada kedua-dua negara tetapi rantau ini secara keseluruhan,” kata kenyataan itu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN