KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang antara lain menyampaikan pandangan bagi penambahbaikan sistem perkhidmatan awam di negara ini.
Kunjungan julung kali di Yayasan Al-Bukhari, di sini itu, diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sallehuddin Mohamed yang juga Presiden Persatuan.
Seramai 22 anggota persatuan yang hadir termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, bekas Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Azhar Abu Bakar dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran, Negara Datuk Azizan Ayob.
Ketika ditemui Bernama selepas pertemuan selama sejam itu, Sallehuddin berkata, beliau berbesar hati dengan sambutan baik Dr. Mahathir terhadap cadangan yang dikemukakan persatuan.
“Kami sudah bersara tetapi majoriti masih lagi aktif, jadi kita tahu Tun sedang berusaha perbaiki perkhidmatan awam. Jadi kita ingin menyumbang untuk usaha-usaha itu,” katanya.
Beliau berkata, selain isu rasuah, perkara berkaitan integriti dan disiplin turut dibincangkan dalam pertemuan itu.
“Kita akan jumpa banyak kali lagi untuk membincangkan idea-idea yang boleh meningkatkan mutu perkhidmatan awam,” katanya. – Bernama










