PETALING JAYA 18 Julai – Seorang tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan menggunakan belakang parang ke atas jirannya, tiga hari lalu.
B.B. Sevanesen, 45, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 16 tahun di bawah blok 10, Desa Menteri, Jalan PJS2 di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 15 Julai lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan perlu menanggung keluarga.
Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










