PUTRAJAYA 24 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima kunjungan hormat saintis muda negara, Dr. Siti Kayriyyah Mohd. Hanafiah bagi meraikan kejayaan wanita berkenaan mengungguli gelaran juara dunia pertandingan FameLab International 2018 baru-baru ini.
Dalam pertemuan kira-kira sejam di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini, Dr. Wan Azizah turut melapangkan masa untuk berbual dengan Siti Kayriyyah mengenai usaha memperkasakan penglibatan golongan wanita dalam bidang penyelidikan selain meningkatkan minat masyarakat terhadap sains.
Menurut Dr. Wan Azizah, beliau melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan Siti Kayriyyah yang menempa namanya di persada antarabangsa dan membuktikan keupayaan rakyat Malaysia dalam aspek komunikasi berhubung bidang sains.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan Dr. Siti Khairiyyah yang telah menunjukkan keupayaan rakyat Malaysia di peringkat dunia.
“Beliau menunjukkan kualiti rakyat Malaysia, terutama wanita, mampu bersaing di persada antarabangsa dan berjaya mengalahkan semua peserta dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan sempena pertemuan berkenaan di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.
Pada 7 Jun lalu, Siti Kayriyyah yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Hayat, USM berjaya menjadi juara pertandingan FameLab International 2018 di The Arena, Cheltenham, United Kingdom (UK) menerusi pembentangan mengenai penggunaan pasangan antibodi-antigen untuk diagnosis tibi.
FameLab International adalah pertandingan menguji kemahiran lisan saintis muda dalam menyampaikan teori dan konsep sains dalam bentuk kreatif dan penyampaian yang mudah untuk difahami oleh khalayak ramai dalam tempoh tiga minit sahaja. – UTUSAN ONLINE










