KUALA LUMPUR 13 Julai – Tenaga Nasional Bhd. berkata, ia percaya bidaan yang kompetitif untuk projek stesen janakuasa akan memberikan nilai yang terbaik kepada industri.
![]() |
|
AZMAN MOHD
|
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata, TNB berkongsi pandangan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berhubung keperluan kepada ketelusan dalam proses tender.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Yeo semalam, bahawa kerajaan persekutuan membuat keputusan untuk membatalkan kontrak empat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang diberikan oleh pentadbiran terdahulu.
Kontrak berkenaan katanya, dianugerahkan melalui rundingan terus dan untuk masa hadapan, kementerian akan hanya melaksanakannya melalui tender terbuka.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham hari ini, Azman berkata, TNB berbesar hati untuk berkongsi pandangan berhubung langkah ke hadapan dan pembaharuan diperlukan untuk sektor utiliti.
“CEP bersikap terbuka mendengar pandangan kami dan mereka sangat berpengetahuan berhubung sektor tenaga dan apa yang terbaik untuk Malaysia.
Kami akan terus berkerja bersama dengan kerajaan bagi menyediakan nilai yang terbaik untuk Malaysia.
“Adalah baik kepada Malaysia kerana kita tidak bekerja dalam keadaan emosi serta membuat keputusan yang rasional dan berasaskan pengetahuan,” katanya.
Berkenaan sama ada pembaharuan industri akan dapat menurunkan tarif elektrik, beliau berkata, ada ruang untuk pembaikan tetapi faktor pemacu kos adalah harga bahan api, yang mana ia adalah di luar kawalan TNB.
Katanya, harga arang batu dan gas berubah berdasarkan harga global dan ini perlu diurus dan ditangani dengan baik, dan menambah bahawa, ia adalah cabaran biasa dan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi di peringkat global.
“Industri ini harus melihat semula pada stesen janakuasa dan juga polisi berkenaan margin yang perlu kita hadapi.
“Industri elektrik sebenarnya adalah bersifat tiga perkara iaitu sekuriti, kemampuan dan kemampanan. Antara ketiga-tiganya, kita perlu mencari imbangan yang optimal untuk melaksanakannya. – BERNAMA












