KAZAN – Jurulatih Brazil, Tite merasai perit menerima kekalahan apabila skuad bimbingannya tersingkir daripada saingan Piala Dunia 2018 kepada Belgium menerusi keputusan 1-2 pada aksi suku akhir di Arena Kazan awal pagi semalam.
Tite memberitahu, skuad kendaliannya itu sudah berusaha sedaya upaya bahkan tidak berputus asa untuk tidak mengubah keputusan tersebut sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus menyaksikan skuad The Red Devils melangkah ke separuh akhir bertemu Perancis, 11 Julai nanti.
Pada aksi tersebut, jaringan sendiri Fernandinho meletakkan Belgium di depan ketika perlawanan memasuki minit ke-13 sebelum Kevin De Bruyne meledak gol kedua The Red Devils pada minit ke-31.
Pemain gantian Brazil, Renato Augusto berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-76 tetapi kebangkitan lewat skuad Samba itu terpaksa menyaksikan Belgium layak ke peringkat separuh akhir.
Brazil memiliki banyak peluang untuk menyamakan kedudukan hingga memaksa penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois bertungkus lumus mempertahankan gawangnya daripada dibolosi.
Tite menegaskan, beliau tidak berminat untuk memberikan alasan bahkan enggan percaya mengenai tuah tidak menyebelahi pasukan bimbingannya.
“Apa sahaja boleh berlaku dalam sukan bola sepak dan saya juga tidak berminat untuk bercakap mengenai tuah.
“Apabila pasukan kami berjaya menewaskan pasukan lawan, adakah itu tuah? Jadi, saya tidak percaya kepada tuah.
“Adakah Courtois benar-benar bertuah? Tidak, dia adalah seorang pemain hebat. Jika bola terkena tiang gol, apa yang boleh kamu lakukan? Belgium jelas bermain dengan kompak serta efektif,” jelas Tite. – Agensi










