TAIPING – Tiga rakan maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 225, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa, Lobpithai Lee Sern Koung, 25 dan Tan Hock Lai, 24, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Ong Cheng Lian, 23, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki empat rakan itu sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Sern Koung itu melanggar bahagian belakang lori berkenaan yang berada di lorong kiri jalan.
“Akibatnya, Sern Koung dan Hock Lai mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kereta maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohamad, seorang lagi mangsa, Chan Jian Zhong, 23, hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Taiping manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kemalangan tersebut berlaku di jalan lurus, rata dan bertar dengan laluan sehala dua lorong serta garisan putus-putus di tengah jalan.
“Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan tiada saksi bebas dikesan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE










