Tidak ada keperluan pertemuan jika hanya untuk membela Ramasamy - Utusan Malaysia

Tidak ada keperluan pertemuan jika hanya untuk membela Ramasamy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 25 Julai – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan tidak ada keperluan lagi untuk beliau bertemu dengan Dr. P. Ramasamy jika pertemuan yang diatur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof itu hanya untuk membela Ketua Menteri II Pulau Pinang tersebut.

MOHD. ASRI
MOHD. ASRI

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan adakah benar Mujahid mengeluarkan kenyataan bahawa pertemuan yang diaturkan itu adalah untuk menamatkan segala tuduhan liar terhadap Ramasamy yang didakwa terlibat dengan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Soal Mohd. Asri, bagaimana belum diadakan pertemuan, sudah dibuat keputusan siapa benar dan siapa salah.

“Bagaimana tahu bahawa apa yang dikaitkan terhadap Ramasamy merupakan ‘tuduhan liar’. Untuk apa lagi pertemuan? Jika sekadar mahu membela Ramasamy, silalah YB Menteri (Mujahid) buat kenyataan pembelaan umum. Itu memadai,” katanya dalam status Facebooknya, di sini hari ini.

Mujahid hari ini dilaporkan mahu menganjurkan pertemuan tertutup antara Mohd. Asri dan Ramasamy berhubung dakwaan Ahli Ja­wa­tankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP itu terlibat dengan LTTE.

Mujahid dilaporkan berkata, pertemuan antara Ramasamy dan Mohd. Asri itu dijangka diadakan pada bulan ini dan mencadangkannya dibuat di Putrajaya.

Tambah Mohd. Asri, beliau tidak pasti adakah kenyataan untuk menamatkan tuduhan liar terhadap Ramasamy dalam pertemuan tersebut adalah ungkapan daripada Mujahid ataupun rekaan Malaysiakini.

“Jika benar dari YB Menteri, amat mendukacitakan.Jika dari MK (Malaysiakini) mereka perlu betulkan,” katanya.

Katanya lagi, isu tersebut bukan melibatkan antara beliau dan Ramasamy tetapi berkaitan isu keselamatan dan aktiviti pengganas yang perlu dicegah.

Katanya, rakyat sudah membuat laporan polis dan terserahlah kepada pihak berkuasa membuat siasatan.

“Saya hanya antara rakyat itu. Mereka yang mencungkil semua bukti tersebut, saya juga membaca bukti-bukti itu (Ramasamy terlibat dalam LTTE) seperti orang lain,” katanya.

Tambahnya, Ramasamy yang selama ini kelihatan sering menzahirkan sikap provokasi dengan masyarakat muslim juga bukan melibatkan isu dengan beliau sebaliknya dengan seluruh umat Islam.

“Menariknya, ketika DZN (Dr. Zakir Naik) dituduh terroris (pengganas) tidak pula kita dengar bahawa itu tuduhan liar. Apabila Ramasamy yang mempunyai pelbagai bukti yang dikaitkan oleh pelbagai pihak terroris, tiba-tiba kita dengar itu tuduhan liar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN