PUTRAJAYA 18 Julai – Polis tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan kecurian di bilik stor di Seri Perdana, di sini yang dikatakan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
![]() |
|
Rosly Hassan
|
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika diminta mengulas perkara itu memberikan jawapan ringkas, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, sumber memaklumkan bahagian keselamatan Seri Perdana sudah dihubungi dan menafikan berlaku sebarang pencerobohan atau kecurian.
Semalam, seorang wanita, Ainina Saadudin menyiarkan gambar sebuah stor yang telah digeledah menerusi akaun Facebook miliknya dengan mendakwa barang milik Najib telah dicuri di Seri Perdana.
Dia mendakwa kejadian itu berpunca daripada tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghalang Najib daripada mengambil barang-barang peribadinya.
Laporan berhubung ‘pendedahan’ Ainina itu turut disiarkan oleh portal Malaysiakini.
Ainina dipetik sebagai berkata, “Tun tengok lah sendiri apa yang jadi? Disebabkan Tun tak bagi Datuk Seri Najib ambil barang-barang peribadi beliau, maka ianya kini telah dimasuki pencuri yang mengambil barang-barang tersebut.
“Kenapa zalim sangat tindakan Tun ini? Itu barang-barang milik peribadi. Beginikah layanan kepada seorang bekas perdana menteri? Apakah ini sikap seorang pemimpin negara yang mahu Tun tunjukkan kepada generasi muda? Bukankah mereka yang mengundi Tun hari tu?” soal beliau.
Menurut laporan portal Malaysiakini lagi, sumber yang rapat dengan Najib mengesahkan bilik stor tersebut telah dipecahkan dan gambar di halaman Facebook Anina adalah tulen.
Sumber tersebut turut percaya motosikal roda tiga Can-Am dalam gambar itu adalah hadiah kepada bekas Perdana Menteri dari pengedar atau pengilang.











