Hakim sekat pengusiran warga Venezuela ditembak ejen ICE

Hakim sekat pengusiran warga Venezuela ditembak ejen ICE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan perintah penggantungan sementara terhadap proses pengusiran seorang lelaki warga Venezuela yang ditembak oleh ejen imigresen di Texas, menurut kenyataan peguamnya.

Tahanan berkenaan, Wilber Rafael Garces Perez, 28, kini ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen dengan sebiji peluru masih tertanam di bahagian belakang badannya.

Hakim, Orlando Garcia yang dilantik sewaktu pentadbiran bekas Presiden, Bill Clinton, menetapkan tarikh pendengaran bagi mengarahkan Garces Perez hadir secara fizikal ke mahkamah pada minggu depan.

Perkembangan ini selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) mengesahkan dalam satu kenyataan, seorang ‘pendatang haram’ menjadi sasaran dalam satu operasi hentian kenderaan, namun menolak dakwaan lelaki berkenaan diberikan rawatan perubatan yang tidak mencukupi.

Insiden tembakan ini berlaku beberapa bulan selepas seorang pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) menembak mati seorang lelaki dalam kejadian berasingan di Houston.

Peguam imigresen Garces Perez, Kate Lincoln-Goldfinch memfailkan saman persekutuan bagi mendapatkan perintah larangan sementara untuk menghalang anak guamnya daripada dihantar keluar dari negara berkenaan.

Lincoln-Goldfinch menjelaskan, memandangkan hakim menetapkan syarat agar anak guamnya hadir secara fizikal ke mahkamah pada 30 September, lelaki itu secara automatik tidak boleh diusir sebelum tarikh berkenaan.

“Buat masa ini, kami  berjaya mendapatkan penangguhan sementara ke atas proses pegusirannya sementara kes ini diteruskan.

“Ini adalah langkah penting, tetapi tugas kami belum berakhir. Garces Perez masih memerlukan rawatan perubatan yang sewajarnya, dan kami akan terus berjuang untuk mempertahankan hak-hak beliau,” katanya.

Impak tembakan berkenaan dilaporkan menyebabkan tulang selangka Garces Perez retak, di mana dia kini terpaksa memakai kain anduh akibat mengalami bengkak dan kesakitan.

Pihak peguam mengesahkan punca atau sejauh mana tahap keupayaan pergerakan yang terjejas akibat kecederaan itu masih belum dapat dipastikan secara perubatan.

Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Pendakwa Raya AS di Texas enggan memberikan sebarang ulasan berhubung kes yang sedang berjalan itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×