KUALA LUMPUR: Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Akta Satu Pendidikan Tinggi dijangka dilaksanakan pada sesi persidangan Parlimen akan datang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penggubalan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971(AUKU) itu akan dilaksanakan selepas mengambil kira pandangan dan sesi libat urus pelbagai pihak.
Katanya, undang-undang merangkumi 44 seksyen itu nanti bukan sekadar memfokuskan kepada mahasiswa, malah merangkumi skop tadbir urus dan kecekapan universiti secara menyeluruh.
“Akta ini melibatkan 44 seksyen dan tujuh daripadanya menyentuh hal ehwal mahasiswa. Selebihnya melibatkan tadbir urus, kelebihan universiti, akademik serta perkara-perkara lain.
“Sebab itu saya tegaskan, apabila kita mahu menggubal akta baharu, ia mesti mengambil kira keseluruhan aspek ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis penutup Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kementeriannya kini berusaha memastikan proses berkenaan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.
“Daripada segi sasaran, kita cuba bawa untuk bacaan pertama pada sidang Parlimen bulan Disember. Jika mahu dibawa pada sidang Oktober ini mungkin agak sukar kerana ia melibatkan sesi libat urus yang sangat besar.
“Kita sedang buat yang terbaik untuk memastikan apa yang dihajati ini dapat dilaksanakan pada kadar segera. Apabila segalanya siap kelak, kita akan buat pengumuman rasmi,” katanya.
Sementara itu, beliau memberi jaminan penangguhan atau penghentian pelaksanaan fasal-fasal operasi berkaitan kebebasan mahasiswa di peringkat universiti telah pun dikuatkuasakan sebagai langkah awal kementerian.-UTUSAN.











