Tiada akaun bank pemimpin parti politik, UMNO dibekukan di Perlis - Utusan Malaysia

Tiada akaun bank pemimpin parti politik, UMNO dibekukan di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 3 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri mengesahkan tiada akaun bank mana-mana pemimpin atau parti politik di negeri itu termasuk UMNO dibekukan setakat ini.

Pengarahnya, Mohd. Syukor Mahmud berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada ibu pejabat untuk mengambil tindakan berhubung perkara itu.

“Di SPRM Perlis, tiada apa-apa tindakan (pembekuan akaun bank parti dan pemimpin parti politik) tetapi kalau di ibu pejabat (SPRM di Putrajaya), kita tidak tahu.

“Biasanya, SPRM Perlis akan bantu jika terdapat sebarang kes yang mereka (ibu pejabat) minta bantuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Merakyatkan SPRM sempena Syawal di pejabat SPRM negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 28 orang kanak-kanak daripada keluarga miskin dan anak yatim berusia antara empat hingga enam tahun dari Rumah Hembusan Kasih, Arau dekat sini, diraikan selain menerima sumbangan duit raya.

Sebelum ini, akaun UMNO Pusat, Selangor, Johor dan Pahang selain individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibekukan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipercayai ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB.

Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015.

Dalam pada itu, Mohd. Syukor memberitahu, SPRM negeri menyasar untuk mengumpulkan sebanyak 9,000 tanda tangan orang ramai dalam Program ‘Berjalan, Berhenti dan Bercakap’ yang bakal diadakan pada 7 Julai ini.

Katanya, program anjuran Sekteratiat Pencegahan Rasuah itu bertujuan bagi memberi pendedahan kepada seramai mungkin masyarakat berhubung peranan dan tanggungjawab SPRM.

“Pada masa sama, program yang dijalankan secara serentak di seluruh negara itu juga menyasarkan untuk memecahkan Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu mengumpul tanda tangan paling banyak dalam tempoh enam jam,” katanya.

Tambah beliau, terdapat tiga kumpulan yang akan bergerak dan mengumpulkan tanda tangan iaitu di pusat bandar ini, Arau dan Padang Besar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN