Terengganu laksana audit My-TTQS - Utusan Malaysia

Terengganu laksana audit My-TTQS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 13 Julai – Jabatan Pelancongan negeri akan melaksanakan audit menyeluruh bagi meningkatkan perkhidmatan dan kualiti kemudahan produk-produk pelancongan bermula September depan.

Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abd. Razak berkata, pelaksanaan My Terengganu Tourism Quality Service (My-TTQS) itu merupakan satu pengiktirafan kepada produk pelancongan di samping memberi pendedahan kepada penggiat industri agar mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan selaras untuk memenuhi kehendak pelancong.

Katanya, buat permulaan proses penilaian akan membabitkan dua produk pada setiap bulan dan insiatif tersebut bakal digerakkan secara bersama dengan agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, polis, bomba, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara produk yang ada dalam senarai audit ialah kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit di Hulu Terengganu di samping Hutan Lipur Lata Tembakah, Hutan Lipur Cemerong dan pantai.

“Kita akan melihat kesediaan dan potensi tempat itu sebagai tarikan pelancongan, kemudian kita akan bawa komuniti setempat untuk menjadi ‘pemilik’ kepada lokasi berkenaan hingga seterusnya mereka dapat melaksanakan aktiviti pelancongan dengan menarik lebih ramai pengunjung ke situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Penutup Seminar Ke Arah Hala Tuju Baru Pelancongan Terengganu yang disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi I, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong di sini semalam.

Seminar dua hari yang julung kali diadakan dengan disertai hampir 300 orang dalam kalangan pemain industri dan aktivis pelancongan tempatan itu bertujuan mengumpul idea serta input baharu ke arah merancakkan bidang tersebut.

Tun Ahmad Faisal memberitahu, kerja-kerja pengauditan membabitkan lima kategori iaitu keselamatan, kebersihan, kemudahan infrastruktur, servis dan penyampaian maklumat di samping promosi dan kemudahsampaian.

Katanya, pelbagai manfaat boleh dicapai menerusi MyTTQS termasuk dapat mempromosikan destinasi pelancongan dalam laman web jabatan dan risalah.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan juga bersedia memberikan peruntukan bagi menambah baik produk terutama jika wujud sokongan serta komitmen kuat daripada komuniti setempat di situ,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×