Pada musim kemarau rumput-rumput hijau
membahasakan layu dalam rumput-rumput kuning
air sungai dan tasik
membahasakan mati dalam sungai dan tasik
yang sudah kering kontang
Berbeza pula dengan bahasa kita,
tidak perlu menunggu kemarau
bahasa kita semakin kering
tidak perlu menunggu deras arus
bahasa kita semakin hanyut dan lemas
dalam peradaban yang kian mencabar
Ilmu setinggi gunung
tanpa sekelumit rasa cinta akan bahasa
bahasa jua akan hilang
Kuasa seluas buana
tanpa setitik fikir akan bangsa
bangsa jua akan lupa
bahawa bahasa pernah menyatukan bangsa
Sedarlah,
bahawa bahasa yang membuat kita saling percaya
bahasa jualah yang menyatukan bangsa
kerana bahasa bukan sekadar suara dari bibir-bibir kita
malah bahasa ialah melodi bangsa kita Malaysia
MOHD. RAFI AMIRUL RAHIM
Jemoreng Matu, Sarawak









