KUALA LUMPUR 24 Julai – Tawaran tiket penerbangan percuma Qatar Airways yang tular dalam media sosial hari ini adalah palsu dan tiada kaitan dengan syarikat tersebut atau mana-mana subsidiarinya.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Qatar Airways melalui sebuah kenyataan di laman Twitter rasminya, 21 Jun lalu.
“Telah sampai pada pengetahuan kami bahawa orang ramai menerima pautan yang didakwa datang dari Qatar Airways atau mana-mana subsidiari Qatar Airways Group yang secara palsu menyatakan orang ramai boleh menempah tiket sebagai sebahagian daripada promosi ulang tahun.
“Pautan tersebut mungkin datang dari domain yang tidak diketahui yang menyerupai laman web rasmi Qatar Airways, serta orang ramai diminta untuk tidak membalas atau berkongsi apa-apa maklumat untuk menebus tawaran tersebut,” kata kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan teliti sebelum mempercayai mana-mana tawaran luar biasa yang diterima. – UTUSAN ONLINE










