Taska, pengasuh atau berhenti kerja? - Utusan Malaysia

Taska, pengasuh atau berhenti kerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMBAHAN jumlah ibu yang bekerja terutamanya di pusat bandar seperti Kuala Lumpur telah menyebabkan permintaan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak atau taman asuhan kanak-kanak (taska) semakin meningkat. Pun begitu, pilihan tetap ada. Ibu bapa juga boleh memilih untuk menghantar anak-anak atau bayi mereka ke rumah pengasuh. Apa pun alasannya, yang pasti setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

BAGI ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak ke taska atau rumah pengasuh yang baru dikenali, pastinya persoalan sama ada anak mereka diasuh dengan baik akan berlegar-legar di dalam fikiran.

Baru-baru ini, bayi lelaki berusia 10 bulan, Naufal Amsyar Nabil Fikri cedera parah di kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, dan meninggal dunia selepas empat hari dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, Johor. Bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan. Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

Sebelum itu, kisah bayi lelaki berusia lima bulan yang dilapor hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki menyamar sebagai bapanya, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor sangat menyentuh hati rakyat Malaysia. Mayat mangsa, Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui dalam bahagian atas peti sejuk dua pintu di rumah pengasuh tersebut.

Menurut Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Mohd Khaidir Mat Aris, setiap ibu bapa pasti mempunyai dilema terutama apabila melibatkan anak-anak. Isu menghantar anak-anak ke taska, rumah pengasuh atau berhenti kerja demi menjaga mereka ialah isu yang sedang hebat diperkatakan.

“Ibu bapa yang bekerjaya juga mahukan yang terbaik buat anak-anak sama seperti ibu bapa lain. Antara pilihan yang mereka ada hanyalah dengan menghantar anak ke pusat jagaan atau taska selain mengupah pengasuh atau pembantu rumah. Kekangan kewangan keluarga juga mungkin menjadi dilema kepada ibu bapa jika salah seorang perlu berhenti kerja demi menjaga anak kecil di rumah.

“Menghantar anak ke pusat jagaan, taska mahupun rumah pengasuh pastinya perlu diberi perhatian yang serius. Ini kerana mereka akan ditinggalkan hampir seharian di sana. Pelbagai faktor utama perlu dititikberatkan antaranya faktor keselamatan, penjagaan, asuhan serta kebersihan,” jelasnya.

Dr. Mohd Khaidir memberitahu, ibu bapa perlulah lebih peka pada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh bayi atau anak kecil. Antara perubahan emosi yang jelas ialah apabila anak tidak menunjukkan rasa atau reaksi gembira apabila anda hendak menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh.

Contohnya anak anda tidak senyum malahan menangis ketika disambut oleh pengasuhnya. Namun, hal ini mungkin berlaku kerana anak anda masih belum mempunyai keserasian dengan pengasuhnya. Jika perkara ini berlarutan, anda perlulah bertindak segera dan cari puncanya agar tiada sebarang perkara buruk berlaku pada masa hadapan.

Selain daripada perubahan emosi, perubahan fizikal adalah lebih ketara. Ini dapat dilihat dengan mata kasar seperti kesan lebam, benjolan mahupun luka di bahagian badan anak anda. Jika anak anda kelihatan seperti kotor dan tidak terurus, ini juga merupakan perubahan fizikal yang ketara bagi menunjukkan bahawa pengasuhnya mengabaikan perkara asas seperti aspek kebersihan.

Selain itu, Dr. Mohd Khaidir berkata, sebelum menghantar anak untuk dijaga oleh orang lain, ada beberapa persiapan yang perlu ibu bapa lakukan untuk memastikan anak betul-betul selesa.

Antara persiapan yang perlu dilakukan ibu bapa ialah memberitahu atau bercerita kepada anak berkaitan taska atau pengasuh yang bakal menjaga mereka. Dalam pada itu, anda juga boleh membawa anak berjumpa dengan pengasuh yang bakal menjaganya sebelum menghantarnya secara tetap di tempat itu.

“Anda juga boleh mencuba untuk menghantar anak anda secara berkala seperti jangka masa yang pendek pada hari pertama dan meningkat pada hari kedua dan seterusnya sehinggalah anak anda betul-betul selesa. Perkara ini bergantung kepada penyesuaian diri anak anda dan juga umurnya.

“Anda juga haruslah memastikan anak anda berada dalam keadaan kesihatan yang baik. Jika anak anda tidak sihat, kemungkinan untuk mereka berasa tidak selesa dengan pengasuhnya adalah lebih tinggi. Anak semestinya menginginkan jagaan dan belaian daripada ibu dan bapa sendiri terutama pada saat mereka kurang bermaya atau sihat,” jelasnya.

Ibu bapa atau pengasuh juga boleh mengenal pasti tanda-tanda anak tidak sihat melalui tangisan bayi yang dijaga. Bayi yang menangis kerana tidak sihat biasanya akan mengeluarkan suara tangisan yang lebih nyaring atau cemas. Tangisan ini berbeza daripada tangisan biasa. Selain itu bagi bayi yang sering menangis, apabila mereka diam boleh memberi maksud bahawa mereka tidak sihat.

Selain daripada tangisan tidak sihat, bayi anda juga mungkin menangis kerana tidak selesa. Tangisan bayi yang tidak selesa adalah seperti jeritan kerana mungkin berasa terganggu seperti lampin dipenuhi najis atau baju terlalu ketat.

“Bayi juga mempunyai stranger anxiety iaitu mereka takutkan individu yang tidak kenali. Ini normal bagi anak kecil yang berusia antara tujuh bulan ke atas atau takut untuk berpisah dengan ibu bapa. Namun, sekiranya separation anxiety ini berlaku secara berpanjangan atau secara tiba-tiba setelah anak anda selesa di tempat itu, ada kemungkinan bahawa ada perkara lain atau di luar kebiasaan yang berlaku. Penderaan atau pembulian juga boleh menyebabkan anak anda mengalami separation anxiety yang berterusan,” katanya.

Dr. Mohd Khaidir memberitahu, ibu bapa lebih mengenali bayinya sendiri, jika merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena, hubungilah doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN