HARI ini hampir semua ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat asuhan ataupun rumah pengasuh cukup risau dan tidak senang duduk sehingga tidak dapat fokus pada kerja yang mereka lakukan. Hal ini kerana mereka sudah mula fobia dan trauma dengan beberapa siri kejadian kanak-kanak maut di pusat asuhan ataupun rumah pengasuh yang mula dilaporkan di media massa. Hampir setiap hari ada saja isu berkaitan pengasuh dan ini pastinya mencemaskan ibu bapa.
Beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini cukup menyayat hati. Antara kes terkini yang cukup meruntun jiwa ialah kematian kanak-kanak berusia 10 bulan, Nawfal Amsyar Nabil Fikri selepas kritikal selama empat hari kerana tempurung kepala retak, tisunya bengkak dan berlaku pendarahan termasuk di selaput mata.
Nawfal dikatakan jatuh sebanyak dua kali dari buaian di rumah pengasuh dan pihak polis sudahpun menahan pengasuh berusia 35 tahun untuk siasatan lanjut. Sebelum itu masyarakat digemparkan dengan kes penemuan mayat bayi dalam peti sejuk rumah pengasuh. Bayi lelaki Adam Raykal Mohd. Sufi, lima bulan yang pada mulanya dilaporkan hilang oleh pengasuhnya, ditemukan mati di rumah pengasuhnya iaitu disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais. Itu belum lagi kecuaian pengasuh misalnya bayi meninggal kerana tersedak susu.
Jelas, persekitaran tidak cukup sihat dan masalah sosial ini perlu ditangani segera. Ibu bapa, pengasuh dan juga pihak kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing supaya kejadian malang seperti ini tidak berulang.
Bagi penulis, ibu bapa tetap menjadi komponen utama dan penting dalam membantu menangani isu ini. Kita tidak berniat mahu menyalahkan mana-mana ibu bapa yang anaknya telah menjadi mangsa keadaan atau kezaliman pengasuh sebelum ini. Cuma ibu bapa ambil lah iktibar dengan semua kejadian yang telah berlaku.
Perkara pokok ialah pastikan kita memilih pengasuh atau pusat asuhan yang betul dan jangan sesekali kompromi atau leka dalam soal ini. Ini kerana jika kita salah pilih kemungkinan besar boleh mengundang pelbagai musibah pada bila-bila masa sahaja.
Ironinya kita membayar upah kepada pengasuh, jadi kita berhak mendapat yang terbaik. Sebelum menyerahkan tanggungjawab menjaga dan menguruskan anak kita ambil sedikit masa untuk siasat latar belakang pengasuh mahupun pusat asuhan yang terlibat.
Paling mudah kita boleh tanya masyarakat sekeliling atau ibu bapa lain yang turut menghantar anak mereka ke tempat tersebut. Antara latar belakang penting yang perlu kita tahu ialah sama ada pernah berlaku apa-apa kes sebelum ini, pengalaman mereka menjaga bayi, bilangan bayi atau kanak-kanak yang dijaga serta bilangan pengasuh yang menguruskan mereka.
Seboleh-bolehnya elaklah menghantar anak kita ke tempat yang pernah ada kes sebelum ini dan juga elak jika nisbah bilangan pengasuh kepada bilangan bayi yang dijaga tidak sepadan. Jangan serahkan anak kepada pengasuh yang langsung tidak dikenali atau hanya baru kenal di Facebook kerana ia cukup berisiko. Walaupun upahnya mungkin murah tetapi percayalah tidak berbaloi jika berlaku apa-apa insiden kelak. Seboleh-bolehnya hantarlah anak ke pusat asuhan yang bertauliah dan ada lesen yang sah.
Pengasuh juga tidak boleh tamak dengan mengambil bilangan anak yang ramai sehingga tidak mampu untuk menguruskannya kerana nisbah pengasuh yang tidak betul. Kejadian bayi mati akibat tersedak susu misalnya tidak akan berlaku andai pengasuh fokus dan beri perhatian kepada bayi tersebut dan bukan tinggalkannya begitu saja ketika minum susu.
Perlu diingatkan menjaga bayi lebih sukar dan cukup sensitif berbanding kanak-kanak yang lebih besar. Pemilik pusat asuhan pula perlu memastikan pekerja mereka menjalankan tugas dengan teliti dan amanah. Pantaulah gerak geri pengasuh anda sepanjang masa. Hal ini penting kerana kita khuatir pemilik menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pengasuh dan tidak ambil peduli apa yang berlaku di pusat asuhan mereka.
Peningkatan kes kematian menyebabkan ramai yang mula was-was, skeptikal dan prejudis terhadap pengasuh. Jadi, besarlah harapan kita agar pengasuh dan pemilik pusat asuhan lebih berhati-hati dan sentiasa meletakkan keselamatan anak jagaan sebagai keutamaan mereka. Benar! Ajal maut ketentuan takdir tetapi janganlah itu dijadikan alasan. Apatah lagi ia berlaku kerana kecuaian kita.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu memikirkan kaedah yang terbaik untuk menangani pertumbuhan pengasuh tidak bertauliah di rumah persendirian yang dilihat semakin bertambah. Mereka ini meningkatkan lagi risiko kejadian tidak diingini seperti ini. Di samping itu kaji dan teliti balik undang-undang sedia ada supaya dapat membantu aspek pencegahan, penguatkuasaan dan hukuman yang setimpal.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).










