Tangani isu kesihatan mental - Utusan Malaysia

Tangani isu kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini saya ber­kesempatan mengadakan pertemuan dengan Men­teri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad di pejabat beliau di Putrajaya bagi membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama antara Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Kementerian Kesihatan dalam pelbagai aspek berkaitan kesihatan pekerja. 

Antara perkara diberikan tumpuan adalah pengukuhan pelan pembangunan kesihatan mental, meningkatkan tahap perkhidmatan industri kesihatan dan menjaga keselamatan premis kesihatan seperti klinik dan hospital. 

Saya amat gembira apabila Dr. Dzulkefly menerima cadangan tersebut dengan baik dan kedua-dua pihak akan memperhalusi cadangan yang saya berikan melalui memorandum kepada beliau pada pertemuan tersebut. 

Sebagai anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, saya merasakan isu kesihatan mental amat penting untuk ditangani ekoran pelbagai kes keganasan dan jenayah dilaporkan melibatkan mereka yang mengalami masalah mental. 

Profesor Bersekutu Psikiatri, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Ng Chong Guan dilaporkan berkata, peningkatan pesakit mental dalam kalangan penduduk negara ini akan bertambah sekali ganda dalam tempoh 10 tahun. 

Berdasarkan nisbah itu, seorang daripada tiga orang rakyat menghadapi masalah kesihatan mental dan angka ini semakin membimbangkan tahun demi tahun.

Kerajaan perlu mencari jalan untuk membuang stigma masyarakat terhadap penyakit mental agar pesakit boleh dikenal pasti dan diberikan rawatan di peringkat awal.

Sebuah pasukan khas harus diwujudkan untuk melaksanakan dan memantau keseluruhan strategi dalam pelan pembangunan kesihatan mental dan menyelaras usaha bersepadu menangani isu tersebut.

Pada masa sama, peruntukan yang mencukupi perlu disediakan untuk menangani masalah mental termasuk melatih lebih ramai kaunselor, ahli psikiatri dan psikologi.

Tahap perkhidmatan kesihatan awam juga perlu dipertingkatkan dengan penggunaan lebih banyak peralatan moden dan sistem teknologi maklumat terkini bagi mempercepatkan proses diagnosis penyakit serta mengurangkan masa menunggu. 

Aspek keselamatan premis kesihatan, terutamanya hospital dan klinik juga perlu diberi perhatian kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan masih terdapat premis kesihatan awam dan swasta yang tidak selamat dan berisiko tinggi untuk berlaku kebakaran.

NIOSH bersedia membantu kementerian berkenaan meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan petugas kesihatan termasuk mengurangkan kes kemalangan berulang-alik ke tempat kerja.

NIOSH melalui anak syarikatnya NIOSH Certification Sdn. Bhd. juga mempunyai kepakaran dalam bidang audit keselamatan serta pengurusan tahap keselamatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

Saya percaya kerjasama dan iltizam yang ditunjukkan oleh semua pihak mampu menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga minda.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi NIOSH

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN